Ireland usir diplomat Israel ekoran kes bunuh di Dubai
DUBLIN 15 Jun - Republik Ireland hari inimengusir diplomat Israel ekoran penggunaan pasport warganya yang dipalsukan dalam operasi pembunuhan komander Hamas di Dubai pada Januari lalu.Menurut Kementerian Luar, keputusan itu dibuat oleh kerajaan Perdana Menteri Brian Cowen berikutan hasil siasatan oleh polis dan pegawai pejabat pasport ke atas dokumen palsu yang digunakan dalam pembunuhan Mahmud al-Mabhuh di Dubai.
Menteri Luar, Michael Martin berkata, Ireland telah memutuskan bahawa 'dengan cara memprotes terhadap tindakannya yang tidak boleh diterima, Israel diminta memanggil pulang kakitangannya di kedutaan mereka di Dublin'.
''Tuntutan ini telah disampaikan kepada duta Israel dan saya mahu ia dilakukan dengan segera,'' katanya.
Rejim Zionis menyifatkan tindakan Ireland itu sebagai 'sangat dikesali'. ''Keputusan Ireland itu amat dikesali dan tidak sejajar dengan kepentingan hubungan antara kedua-dua negara,'' kata jurucakap kementerian luar rejim Zionis, Yigal Palmor kepada AFP.
Mahmud al-Mabhuh, pengasas sayap bersenjata pergerakan Hamas yang menguasai Tebing Gaza, ditemui mati di bilik hotelnya dekat lapangan terbang Dubai pada 20 Januari.
Sebanyak 12 pasport British, enam Ireland, empat Perancis, satu Jerman da tiga Australia digunakan oleh 26 orang dipercayai terbabit dalam plot pembunuhan itu, menurut polis Dubai.
Dalam kebanyakan kes, dokumen perjalanan itu didapati sama ada dipalsukan atau diperolehi secara haram. Ireland dan empat negara yang mana pasport mereka digunakan dalam operasi itu telah memanggil perwakilan Israel untuk perbincangan.
Martin berkata, bukti-bukti yang ditemui menerusi siasatan Ireland dan kecanggihan dokumen yang dipalsukan itu 'jelas menunjukkan pembabitan agensi negara asing atau pertubuhan jenayah yang memiliki sumber yang rapi dengan akses kepada bilangan besar pasport Ireland'.
Siasatan oleh pihak berkuasa British dan Australia turut merumuskan perkara yang sama, kata Martin lagi.
''Terdapat sebab-sebab munasabah untuk mempercayai bahawa Israel memang bertanggungjawab,'' katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment