Perdana Menteri menjelaskan, ini kerana kedudukan Seri Paduka adalah lebih tinggi daripada 'wanita pertama'.
"Kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 32 (2) dan hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.
"Oleh itu, untuk menyamakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dengan 'wanita pertama' seperti diamalkan negara lain adalah tidak tepat sama sekali.
"Sekiranya ada dan diamalkan, 'wanita pertama' di Malaysia mestilah berada di bawah daripada kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong," katanya dalam jawapan bertulis pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Najib menjawab soalan dibangkitkan Tian Chua (PKR-Batu) mengenai amalan menggelarkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai 'wanita pertama' yang didakwanya telah melanggar Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Tian Chua turut membangkitkan persoalan mengenai perbelanjaan dalam penerbitan iklan dalam akhbar The New York Times pada 16 April lalu mengenai isteri Perdana Menteri.
Mengenai perkara itu, Najib menjelaskan, iklan tersebut tiada kena-mengena dengan perbelanjaan kerajaan atau mana-mana ejen yang mewakilinya.
Menurut Perdana Menteri, isu itu timbul setelah sebuah portal berita membuat tuduhan kononnya pihak The New York Times memberitahu iklan itu ditempah oleh kerajaan.
Katanya, iklan berkenan telah ditempah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Amerika Syarikat sempena anugerah kepada Rosmah di atas sumbangannya dalam hal ehwal kemanusiaan dan memperjuangkan pendidikan kanak-kanak.
"Dengan itu saya kira soal kos kepada kerajaan tidak timbul dan perkara ini tidak lagi menjadi persoalan," katanya.
No comments:
Post a Comment