Wednesday, June 16, 2010

Tradisi sambutan Bulan Solat diteruskan


KOTA BHARU 15 Jun - Semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pemimpin diminta memainkan peranan mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sembahyang dalam kehidupan.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dalam kebejatan sosial dan jenayah yang berlaku pada hari ini, umat Islam perlu disedarkan bahawa sembahyang adalah benteng dan 'brek' yang berkesan untuk mengawal segala tindak tanduk seseorang.
Oleh itu, katanya, anak-anak sejak dari kecil lagi hendaklah diajar cara sembahyang dan pengertiannya agar mereka apabila dewasa mempunyai rohani yang terdidik untuk memilih antara perkara yang benar dan salah.
''Kita lihat dalam media disebut tentang manusia membuang anak, merogol, merompak, meragut, tebuk dinding bank, bagaimana boleh berlaku semua ini sedangkan kita ada polis dan ada sistem penggera keselamatan.
''Jawabnya polis hanya boleh menjaga secara fizikal dan luaran, orang yang rohani dan nafsunya tidak terkawal boleh sahaja melanggar peraturan.
''Sebab itulah Islam mempunyai cara untuk menjaga rohani iaitu dengan solat yang merupakan ibadah yang merangkumkan gerak secara fizikal dan penumpuan khusyuk dengan hati," katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Sambutan Bulan Solat di Dewan Besar, Kompleks Islam Lundang di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Mohd. Azamli Jamaluddin.
Sambutan Bulan Solat itu telah dimulakan kerajaan negeri pada 1995 dan sejak 2008, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta setahun untuk sambutan yang berjalan di seluruh negeri sepanjang bulan Rejab.
Menurut beliau, seruan ke arah tanggungjawab menunaikan sembahyang perlu dilakukan berterusan dan tidak sekadar sepanjang program.
"Orang mungkin ada segala-galanya, ada rumah, duit tetapi jika tidak solat ibarat kereta mewah yang tidak ada 'brek' dan gear.
"Seorang pemandu tidak perlukan kereta yang boleh meluncur laju sahaja tetapi keretanya juga perlu boleh untuk diperlahan dan diberhentikan di tempat tertentu.
"Begitulah fungsi solat mendidik rohani manusia mengingati Allah dan segala janji dan azab-Nya, ada 'brek' untuk mengawal diri, jadi bagaimana nak merogol atau merompak bila hati teringat Allah sentiasa ada bersama-sama melihat perbuatan kita," katanya.

No comments:

Post a Comment