Wednesday, June 16, 2010

‘Jangan cepat lelong aset kepada bank’


KUALA KRAU 15 Jun – Kerajaan Pahang mengingatkan pemilik premis di Bandar Jengka di sini tidak mudah menjual atau melelong aset mereka itu kepada bank jika berhadapan dengan krisis kewangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak menegaskan, sebaliknya pemilik premis terbabit perlu meminta bantuan persatuan atau agensi berkaitan untuk membantu melunaskan hutang mereka.
Tegas beliau, tindakan itu bagi mengelakkan aset milik bumiputera di bandar tersebut terhakis.
‘‘Sememangnya telah menjadi lumrah kepada peniaga membuat pinjaman bank untuk membeli premis perniagaan atau kediaman.
‘‘Kemerosotan perniagaan dan pendapatan menyebabkan pemilik premis gagal membayar pinjaman serta berhadapan dengan tindakan mahkamah.
‘‘Apabila menghadapi situasi gawat seperti itu, peniaga Melayu jangan malu untuk mendapatkan bantuan daripada rakan, persatuan atau institusi lain yang mungkin dapat menolong,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan 40 unit bangunan kedai Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Jengka dan penyerahan kunci kepada pemilik premis di sini semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Yang Dipertua Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Jengka, Halib Ahmad.
Tan Mohd. Aminuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran menegaskan, premis perniagaan atau tanah di Bandar Jengka yang dilelong akan memberi peluang kepada pihak lain untuk membelinya.
‘‘Jika keadaan itu berlaku, pihak bank tidak boleh dipersalahkan kerana mereka mahu memaksimumkan keuntungan dan mengelakkan sebarang kerugian dalam urus niaga,’’ katanya.
Tegasnya, jika pemilik menyerahkan semula premis mereka kepada pihak bank, bermakna usaha kerajaan untuk mempertahankan Bandar Jengka sebagai bandar bumiputera contoh di negara ini, gagal.
Beliau kesal kerana ada premis perniagaan di Bandar Jengka dilelong kepada pihak bank tanpa pengetahuan kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memuji usaha Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Jengka membina 40 premis perniagaan di Bandar Jengka.
Katanya, pihak persatuan berkenaan telah memanfaatkan tanah di kawasan itu untuk membantu golongan bumiputera melibatkan diri dalam perniagaan dan keusahawanan.

No comments:

Post a Comment