Friday, June 25, 2010

Azizah perlu dedah perjuangan sebenar PKR


PUTRAJAYA 24 Jun - Pemuda UMNO meminta Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan perjuangan sebenar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada berjuang untuk masa depan negara atau pun mahu melunaskan dendam suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kerajaan.
Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, Azizah perlu menyahut permintaan itu kerana hanya beliau sahaja yang mengenali Anwar secara dekat.
Menurutnya, Presiden PKR itu juga perlu menjawab mengapa pentingnya PKR terus mempertahankan suaminya.
"Adakah perjuangan PKR selama ini semata-mata hanya untuk mendapat kuasa sahaja atau berjuang untuk masa depan rakyat.
"Adakah Pas dan DAP yang menyokong PKR selama ini bertujuan untuk kesenangan masing-masing atau bagi mendapatkan kuasa sahaja dengan mengetepikan masa depan negara dan rakyat walaupun sedar caranya itu tidak baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam tadi.
Razali berkata, perjuangan mana-mana parti sepatutnya meletakkan masa depan negara sebagai asas dan pada masa sama rakyat juga perlu tahu apa sebenarnya diperjuangkan oleh parti tersebut.
Sementara itu, beliau mengingatkan setiap Pemuda UMNO bahagian supaya komited untuk mengadakan mesyuarat persidangan kerana ia penting untuk masa depan parti.
"Usaha untuk mengadakan mesyuarat persidangan Pemuda perlu diteruskan untuk membincangkan perkara-perkara penting seperti pembaharuan dan hala tuju parti.
"Kehadiran ke mesyuarat persidangan ini perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya dan jangan pula bila habis dan pulang ke rumah, fikiran kita kembali kosong," katanya.

No comments:

Post a Comment