KUALA LUMPUR 24 Jun - Tindakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana dikatakan membelakangkan agenda Melayu sebagai tidak wajar.
Sambil turut menyifatkan desakan berkenaan tidak munasabah sama sekali, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, soal 'menjual bangsa sendiri' tidak timbul.
''Ia kerana Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO merupakan antara ahli Parlimen pertamamembantah cadangan pengecilan penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar-pelajar Malaysia yang cemerlang melanjutkan pengajian mereka ke luar negara.
''Pengecilan penawaran biasiswa ke luar negara tajaan JPA akan memberikan impak besar terhadap peluang pelajar Melayu dan bumiputera terutamanya mereka yang benar-benar cemerlang bagi mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Reezal Merican mengulas kenyataan Ibrahim yang mendesak Khairy meletakkan jawatan apabila Ketua Pemuda UMNO tersebut mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa JPA.
Semalam Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menafikan bahawa beliau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kenyataan balas Khairy terhadap Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas semalam adalah dengan niat bagi memperjelaskan keadaan sebenar berkaitan kenyataan oleh Ka Siong dalam konteks yang lebih tepat.
''Ia sekali gus bagi menjernihkan suasana agar ia tidak menjadi salah tanggapan dan polemik yang berpanjangan.
''Selaku Ketua Pemuda UMNO, Khairy tentu sekali mendokong asas perjuangan parti yang tidak pernah menolak, tidak pernah berkompromi dan jauh sekali membelakangkan kepentingan agenda Melayu dan bumiputera,'' katanya.
Beliau menegaskan, Pemuda UMNO sentiasa konsisten dalam perjuangannya menegakkan agenda Melayu dan bumiputera di bawah bumbung semangat 1Malaysia sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
'' Ini termasuklah membicarakan isu-isu 'berkait' di dalam semangat yang lebih rasional dan berpandangan jauh. Ini tidak sama sekali bermakna, Pemuda UMNO mahu mengetepikan agenda Melayu dan kepentingan bumiputera.
''Dalam hal-hal yang jelas berkait dengan hak orang Melayu dan bumiputera, kita tidak akan berkompromi malah rakan komponen Pemuda Barisan Nasional (BN) cukup jelas dan faham dalam hal ini.
No comments:
Post a Comment