Friday, June 25, 2010

‘Pergi ke Teheran, bukan Gaza’


BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggesa aktivis kemanusiaan yang menyertai konvoi ke Genting Gaza supaya menuju ke Iran, di mana beliau menuduh pencabulan hak asasi manusia berlaku. 

“Saya menyeru semua aktivis kemanusiaan supaya ke Teheran, di mana kaum wanita ditindas, di mana golongan homoseksual digantung sampai mati dan tiada kebebasan bersuara,” katanya dengan angkuh. 

Kenyataan biadap Netanyahu itu dilihat sebagai tindakan berniat jahat dan sengaja mencabar Iran. 

Netanyahu juga menegaskan konvoi bantuan yang dirancang berlayar dari Iran dan Lebanon menuju ke Gaza bukan konvoi bantuan kemanusiaan tetapi untuk menghantar senjata kepada kumpulan pejuang Hamas yang menguasai wilayah Palestin itu. 

“Hari ini, selepas kita melonggarkan sekatan ke atas barangan orang awam ke Gaza, tiada alasan lagi bagi penghantaran konvoi kapal bantuan oleh orang-orang yang tidak mahukan keamanan,” katanya, kelmarin. 

Tidak cukup dengan itu, Perdana Menteri Israel yang bongkak itu turut mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa lain yang dituduh sengaja mengutuk dan mensasarkan Israel. 

“Mereka mahu menarik balik semua hak asasi kita untuk mempertahankan diri, dan setiap kali kita mempertahankan diri, mereka menuduh kita melakukan jenayah perang,” katanya. 

Sementara itu, Netanyahu turut menyentuh mengenai kelonggaran sekatan ke atas Gaza dan memaklumkan senarai barangan dilarang memasuki Gaza akan diterbitkan dalam masa beberapa hari.

No comments:

Post a Comment