Friday, June 25, 2010

Wahabi, JI: Jakim dapatkan laporan lengkap


PUTRAJAYA 24 Jun - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mendapatkan laporan lengkap mengenai dakwaan bahawa terdapat tokoh tertentu di negara ini yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan Jemaah Islamiah (JI).
Menurutnya, kerajaan berharap orang awam tidak bertindak dan melakukan pendekatan sendiri dengan melabelkan kumpulan atau orang tertentu dengan kegiatan JI yang dikaitkan dengan keganasan.
"Perkara itu berada dalam penelitian Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kita di Jakim dan saya sendiri memantau perkembangan ini.
"Kita sedang menyiapkan laporan lengkap untuk melihat sama ada benar atau tidak perkara itu sebagaimana yang diungkapkan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas meraikan sukarelawan Malaysia yang menyertai 'Flotila Kebebasan' Gaza dalam kapal Mavi Marmawa yang diserang tentera Israel hujung bulan lalu pada Majlis Semarak Wira Gaza, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Pengerusi Sekretariat Haluan, Nor Azman Mohd. Samsudin.
Jamil Khir mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang memetik sumber bahawa seorang pengawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) iaitu sebuah agensi di bawah Jakim mengaitkan tokoh tertentu di negara ini dengan fahaman Wahabi dan lingkaran JI dalam satu taklimat di Bukit Aman Isnin lalu.
Pegawai berkenaan, Zamihan Mat Zin hari ini dilaporkan menafikan dakwaan berkenaan sebaliknya mengakui dia hanya ada membangkitkan nama bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin dalam taklimat itu berdasarkan tulisan beliau selama ini.
Menurut Jamil Khir, pihaknya memerlukan gambaran menyeluruh kerana dakwaan berkenaan hanya memetik laporan portal berita yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.
Beliau menegaskan, seseorang itu tidak boleh melabelkan kumpulan atau orang tertentu dengan sesuatu pergerakan atau lingkaran keganasan melainkan dengan maklumat yang sahih terutama daripada KDN.
"Pendirian kerajaan ialah kita menolak JI, kita menolak keganasan iaitu perbuatan orang yang melakukan kekejaman dan membunuh orang awam tanpa sebab.
"Namun dengan mengaitkan kumpulan tertentu, itu memerlukan satu penelitian, saya rasa polis mempunyai maklumat tersendiri dan mempunyai saluran untuk menyampaikan perkara itu," katanya.
Mengenai laporan bahawa Asri bersama puluhan ulama berkelulusan tinggi dijangka menyertai UMNO Jumaat ini, Jamil Khir berkata, pihaknya melihat penyertaan golongan ulama dalam UMNO merupakan satu ruang keterbukaan yang mampu membawa keyakinan orang ramai terhadap parti itu.
"Kita sendiri melihat bahawa sejak UMNO mula ditubuhkan, parti itu secara berterusan didokong oleh ulama.
"Jadi, ini boleh menjadi pendekatan yang mampu menambah baik keyakinan dan nilai kepada UMNO dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment