Friday, June 25, 2010

MB Terengganu rombak lima Exco



:KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, semalam, membuat rombakan secara mengejut terhadap portfolio melibatkan lima Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di negeri ini. 

Ketika mengumumkan perkara itu, Ahmad dalam satu kenyataannya memberitahu, rombakan yang berkuat kuasa 1 Julai depan bagaimanapun tidak membabitkan sebarang pengguguran Exco sedia ada. 

Namun, tindakan tersebut dilihat sebagai amat memeranjatkan dalam kalangan ahli politik di negeri ini, menyebabkan ada Bahagian UMNO telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara tersebut. 

Dalam rombakan itu, ia melibatkan pertukaran potfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri akan disandang Datuk Za’abar Mohd Adib mengambil alih jawatan yang sebelum ini daripada Yahya Khatib Mohamad.: 

Tempat Datuk Za’abar iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri pula akan diambil alih Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri sementara Yahya Khatib akan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri. 

Asha’ari Idris pula akan mengambil alih portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani yang disandang Rozi Mamat, manakala Rozi pula ditukarkan kepada portfolio Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri. 

Surat arahan pertukaran kepada pengerusi-pengerusi portfolio baru itu dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). 

Ahmad dalam kenyataan tersebut berkata, pertukaran portfolio itu mampu memberi pendedahan dan pengalaman baru serta proses ‘enrichment’ berterusan kepada barisan Exco kerajaan negeri selain memantapkan jentera eksekutif dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Saya percaya gandingan kesemua barisan Exco yang terbabit dengan penyusunan semula ini dan yang kekal dengan portfolio masing-masing dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam usaha Kerajaan Negeri untuk ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’,” katanya. 

Sementara itu, Asha’ari dan Abdul Rahin ketika dihubungi mengakui tidak mengetahui pertukaran portfolio itu dan masih belum menerima sebarang surat makluman secara rasmi. 

Menurut Asha’ari, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya ditukarkan kepada portfolio Pertanian dan Industri Asas Tani. 

“Saya belum tahu perkara ini dan tidak dimaklumkan secara rasmi serta tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Exco, Rabu lalu. Hari ini (semalam) saya menerima lebih 10 panggilan bertanyakan mengenai perkara ini dan 21 mesej yang masih belum dibuka berkemungkinan bertanyakan perkara sama.: 

“Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah kerana segala program telah dirancang dari awal, cuma bertukar :driver: sahaja. Saya melihat mungkin YB Setiu lebih sesuai dengan portfolio tersebut kerana kebanyakannya dari Setiu seperti Datuk Abdul Ghani Mohd Amin, Datuk Tengku Mahmud, Datuk Mohd Ghazali, Datuk Mohd Jidin Shafee, begitu juga pada zaman pemerintahan Pas, Exco pertanian dari Setiu,” katanya. 

Sementara itu, Jawatankuasa UMNO Bahagian Marang dipengerusikan Timbalannya, Alias Abdullah mengadakan mesyuarat tergempar berkaitan itu itusambil menyifatkan pertukaran itu sebagai perkara amat mendukacitakan. 

Mesyuarat kira-kira sejam turut memutuskan tindakan Ahmad sebagai bukan sahaja menimbulkan kekecohan di peringkat pentadbiran negeri, malah jauh sekali daripada memperkasa parti yang memerintah.

No comments:

Post a Comment