TAWAU 24 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini secara rasmi membantah cadangan supaya kerajaan mengeluarkan lesen judi pertaruhan bola sepak di negara ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pengeluaran lesen judi seumpamanya akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada seluruh lapisan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
"Setelah hampir beberapa minggu kita meminta pandangan daripada ahli-ahli akar umbi dan (menyaksikan) usaha yang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dapat membanteras sedikit sebanyak gejala judi ini melalui penguatkuasaan keras dalam seminggu ini, kita rasa bahawa dalam isu lesen judi pertaruhan perlawanan bola ini, Pemuda UMNO membuat pendirian bahawa kita membantah sekiranya kerajaan mahu keluarkan lesen tersebut.
"Kita berharap apa yang kita dengar dalam berita iaitu kenyataan yang dibuat oleh pihak swasta bahawa kerajaan telah bersetuju (mengeluarkan lesen) adalah tidak benar. Kita berharap kerajaan tidak mengeluarkan lesen tersebut," katanya.
Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tawau, yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, di sini.
Khairy berkata, judi merupakan gejala tidak baik dalam mana-mana masyarakat termasuk dalam masyarakat bukan Islam sendiri.
"Saya tanya rakan-rakan dalam MCA dan MIC, mereka pun kata judi ini bukanlah perkara yang disokong oleh masyarakat mereka. Memang betul ada masyarakat bukan Islam berjudi tetapi ia bukanlah yang disokong masyarakat mereka. Mereka juga anggap judi bukan budaya mereka.
"Mereka pun berpendapat mengapa kita menggalakkan perkara ini (judi) dengan memberi lesen. Jadi, daripada sudut pandangan mana-mana budaya atau kaum di Malaysia ini, mereka tidak setuju, lebih-lebih lagi untuk orang beragama Islam," katanya.
Walaupun ada pandangan yang menyatakan bahawa lesen judi berkenaan hanya untuk masyarakat bukan Islam, namun, kata Khairy, pandangan masyarakat Islam dan bukan Islam yang sangat menentang judi perlu diambil kira dalam isu itu.
Selain itu, Khairy berkata, alasan bahawa jika lesen judi pertaruhan bola berkenaan tidak dikeluarkan akan menyebabkan judi haram berleluasa dan tidak dapat dikawal tidak dapat diterima kerana PDRM membuktikan mereka berjaya membanteras beberapa kegiatan pertaruhan bola sejak bermulanya kejohanan bola sepak Piala Dunia.
"Apabila melihat kedua-dua hujah ini, kita dapati sudah tiba masa kita membuat pendirian secara terbuka berhubung isu ini. Jadi pada hari ini kita rasa terpanggil untuk memaklumkan kerajaan tentang pendirian Pemuda UMNO," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment