Monday, June 7, 2010

Flotila bantuan diteruskan



NICOSIA, Cyprus 6 Jun - Pertubuhan pro-Palestin, Gerakan Pembebasan Gaza akan meneruskan rancangannya untuk menghantar beberapa lagi flotila bantuan menggunakan kapal ke Genting Gaza walaupun gerakan itu akan menutup ibu pejabatnya di sini.
Jurucakap pertubuhan itu, Greta Berlin, 69, berkata, pejabat mereka akan dipindahkan ke London, namun usaha menghantar bantuan ke Palestin akan tetap diteruskan.
Tambahnya, pejabat mereka di Larnaca itu akan mula ditutup Isnin ini dan ahlinya akan kembali ke negara masing-masing untuk sementara waktu.
"Kami tidak akan berhenti menghantar bantuan, cuma kami berpindah lokasi.
"Usaha kami selama ini sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada Israel dan kami akan teruskan usaha murni ini," katanya.
Menurutnya, keputusan untuk memindahkan ibu pejabat mereka diambil selepas kerajaan Cyprus bulan lalu mengambil keputusan untuk tidak membenarkan sebarang usaha pelayaran memasuki Gaza dari pelabuhan mereka.
"Jika Cyprus cuba menyusahkan kerja kami, mengapa perlu kami terus berada di negara mereka?" katanya.
Sabtu lalu, tentera Israel yang tidak mengendahkan tekanan antarabangsa merampas sebuah kapal yang cuba menghantar bantuan ke Gaza.
Selain itu, tentera rejim Zionis itu pada Isnin lalu menyerang sebuah kapal Gerakan Pembebasan Gaza, mavi marmara hingga menyebabkan beberapa aktivis keamanan terbunuh dan berpuluh lagi cedera.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor berkata, pihaknya akan terus mengepung Gaza selagi parti pemerintah Hamas tidak menghentikan kezaliman selain mengiktiraf negara rejim Zionis itu. - AP

No comments:

Post a Comment