Monday, June 7, 2010

Siasat serang Mavi Marmara



Beribu-ribu penduduk Turki menyertai tunjuk perasaan di Dataran Caglayan di Istanbul, semalam sebagai membantah tindakan komando rejim Zionis Israel membunuh aktivis pro-Palestin Turki pada 31 Mei 2010. - AFP


BAITULMAQDIS 6 Jun - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon (gambar) mengesyorkan siasatan antarabangsa dijalankan berhubung serangan tentera Israel yang membunuh sembilan aktivis pro-Palestin di dalam kapal bantuan Turki, Mawi Marmara pada Isnin lalu.
Ki-moon mencadangkan penubuhan sebuah panel diketuai bekas Perdana Menteri New Zealand, Geoffrey Palmer yang juga pakar undang-undang maritim, dan dianggotai wakil dari Turki, Israel dan Amerika Syarikat (AS), kata seorang pegawai Israel, hari ini.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membincangkan cadangan itu dengan Ki-moon semalam dan merancang untuk mengadakan mesyuarat menteri-menteri kanan hari ini bagi menimbangkan sama ada Israel akan menyertai siasatan, kata pegawai itu.
Para pemimpin Israel telah membangkitkan cadangan untuk mengadakan siasatan oleh Israel dengan penyertaan pemerhati asing mengenai serangan ke atas Mawi Marmara di perairan antarabangsa ketika kapal itu dalam pelayaran ke Genting Gaza Isnin lalu.
Ki-moon juga mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengenai 'langkah-langkah yang boleh diambil ke arah melancarkan siasatan yang dikehendaki oleh Majlis Keselamatan PBB, lapor PBB di laman webnya
Majlis Keselamatan sebelum ini telah meminta siasatan saksama dijalankan mengenai insiden itu.
Usaha untuk mengadakan siasatan antarabangsa itu meningkatkan lagi tekanan ke atas Israel untuk menjelaskan bagaimana tindakannya untuk menghalang kapal bantuan itu boleh mencetuskan pertumpahan darah.
Selepas insiden Isnin lepas, hubungan Turki dengan Israel merosot dengan begitu teruk.
Pegawai Israel itu berkata, kerjasama antara Israel dengan Turki dalam sebuah jawatankuasa siasatan diharap dapat membantu memulihkan hubungan.
Katanya, rejim Zionis tersebut juga mahu memastikan sama ada kerajaan Turki menaja perjalanan Mavi Marmara.
Penyertaan sekutu utama Israel, AS dalam siasatan itu boleh meredakan kebimbangan Israel mengenai kesaksamaan panel tersebut, ujar pegawai itu. - Reuters

No comments:

Post a Comment