SEPANG: Ditembak menggunakan peluru getah di kepala, pinggul dan belakang badan; digari selama 15 jam hingga cedera pergelangan tangan dan sentiasa diacu dengan senapang di kepala.
Itu antara penderaan fizikal dan psikologi yang terpaksa ditanggung aktivis Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) dalam kapal Mavi Marvara, Halim Mohd Redzuan ketika kapal berkenaan diserang tentera Israel Isnin lalu.
“Saya ketika itu berada di atas dek, mereka tembak di kepala menggunakan peluru getah, ia terlalu sakit sehingga saya berlari untuk mendapatkan bantuan doktor. Belumpun sampai, sekali lagi saya ditembak di belakang badan dan pinggul.
“Sewaktu kejadian, sudah lima aktivis mati ditembak dan komando Israel mula mencari mangsa lain tidak mengira bangsa dan siapa yang bersuara pasti mereka akan bertindak lebih ganas,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di tanah air pagi semalam.
Katanya, biarpun bersyukur kerana terselamat dalam serangan itu, namun kecewa kerana gagal menyampaikan bantuan berkenaan kepada penduduk Semenanjung Gaza.
Bagi Hassanuddin Mohd Yunus, biarpun gagal menghantar misi bantuan berkenaan ke Semenanjung Gaza, sedikit kepuasan kerana serangan Isarel ke atas kapal itu membuka mata dunia mengenai kekejaman Zionis.
Katanya, serangan berkenaan membuktikan kekejaman Israel dan amaran kepada dunia untuk bersiap sedia menghadapi banyak lagi tindakan angkuh mereka untuk menafikan hak masyarakat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza.
No comments:
Post a Comment