Monday, June 7, 2010

Memang nak bunuh'

SEPANG: “Mereka (tentera Israel) memang berniat membunuh. Malah, mereka ada senarai dan gambar individu dikehendaki,” kata Ketua Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Shamsuddin.

Beliau berkata, rahsia itu terbongkar apabila sekumpulan sukarelawan berjaya menangkap tiga tentera ketika keadaan kelam-kabut selepas tentera Israel melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah anak kapal.

Katanya, keadaan gelap dan kabur akibat asap dilemparkan tentera Israel menyebabkan tiga tentera dari tiga helikopter pertama tersalah langkah, sekali gus membolehkan sukarelawan menangkap mereka.


Menurutnya, selepas memeriksa tentera itu, sukarelawan menemui senarai nama dan gambar individu di atas kapal Mavi Marmara untuk misi kemanusiaan menghantar bantuan kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.


“Mereka menggunakan peluru getah hanya sebagai alasan, tetapi saya boleh buktikan mereka berniat membunuh kerana ada senarai nama yang ingin dibunuh sebelum menyerang kapal kami.


“Kebenaran semakin terbukti apabila kebanyakan sukarelawan yang terbunuh ada dalam senarai itu. Sebahagian daripada senarai itu adalah rakyat Turki termasuk seorang wartawan dan beberapa tokoh penting dunia,” katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Istanbul di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.


Noorazman dan 11 sukarelawan yang diserang tentera Israel ketika berada di kapal Mavi Marmara yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, tiba di tanah air jam 5.40 pagi, semalam.


Noorazman berkata, semua sukarelawan yang terselamat tiada dalam senarai memandangkan mereka hanya individu biasa yang tidak dikehendaki pihak Israel.


Menurutnya, semua sukarelawan yang menyertai misi itu sudah nekad dan bersedia menerima apa jua kemungkinan kerana faham risiko yang bakal diterima. Berikutan itu, mereka tidak gentar ketika tentera Israel melancarkan serangan, cu ma berfikir bagaimana untuk merampas senjata daripada mereka.


“Kami berada di tingkat tiga kapal, manakala serangan berlaku di tingkat empat, kami nak naik untuk membantu pun tidak boleh...peluru macam hujan, kami hanya berlindung di bawah satu dinding.


“Kami sedih melihat ramai kawan terbunuh, tetapi kami tahu mereka pergi (meninggal dunia) tidak sia-sia dan misi kami berjaya, sekurang-kurangnya kami dapat menyedarkan dunia apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, selepas ditahan tentera Israel, semua sukarelawan Malaysia beranggapan akan tinggal lebih lama di penjara berikutan kerajaan Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel.


“Kami tak sangka dapat keluar awal kerana pagi itu kami tidak dibenarkan menelefon sesiapa, malah diputuskan hubungan dengan luar. Kami hanya lihat kedutaan lain masuk penjara (untuk membebaskan rakyat masing-masing). Kami tahu kedutaan kita tidak akan masuk sebab tiada hubungan diplomatik.


“Kami sangka akan berada di sana sebulan, dua bulan malah mungkin setahun atau dua tahun, tetapi Alhamdulillah, berkat usaha tuan puan (rakyat Malaysia), kerajaan dan semua pihak, akhirnya kami dibebaskan,” katanya.


Katanya, walaupun gembira dibebaskan dan selamat pulang ke tanah air, mereka tidak boleh dianggap wira.


“Kalau kami digelar wira kerana ditembak dengan peluru hidup, diikat 15 jam, tidak dibenarkan ke tandas, diacukan senjata di kepala, tidak diberikan makan minum hampir 24 jam, hakikatnya saudara kita di Gaza dan Palestin lebih teruk.


“Tiap-tiap hari mereka berdepan dengan ‘apache’ yang datang nak bunuh mereka, tiap-tiap hari mereka tak dapat makanan dan ubatan yang cukup,” katanya.

No comments:

Post a Comment