PARIS: Berpuluh-puluh ribu orang menunjuk perasaan di seluruh Eropah, semalam, bagi membantah pembunuhan kejam ke atas aktivis kemanusiaan yang cuba menentang kepungan Israel terhadap Gaza.
Sambil melaungkan slogan kecaman ke atas Israel, mereka turut mengibarkan bendera Palestin dan Turki di Istanbul, London, Dublin dan Paris, selain beberapa bandar raya Perancis.
Menganggap Israel sebagai pembunuh, mereka menuntut negara Zionis itu menamatkan kepungan ke atas wilayah Gaza dan berikrar bahawa kematian sembilan aktivis berkenaan tidak sia-sia.
Di Turki, kira-kira 10,000 orang berkumpul dan bertakbir di Dataran Caglayan yang terletak di bahagian Eropah menghadap Selat Bosphorus.
Kebanyakan mereka memakai lilit kepala bertulis ‘Israel pembunuh, jangan ganggu bot’ dalam bahasa Hebrew dan Inggeris.
Di Dublin, penganjur berkata, beberapa ribu orang menyertai bantahan berkenaan walaupun polis Ireland mendakwa hanya beberapa ratus.
“Rasanya orang ramai amat marah atas pembunuhan itu,” kata Pengerusi Pergerakan Antiperang Ireland, Richard Boyd Barrett.
Di Perancis, lebih 20,000 orang, termasuk 5,000 di Paris, meluahkan protes sama.
“Apa yang kita alami amat sukar, tapi ia tidak sebanding dengan apa dihadapi warga Palestin sepanjang tahun. Mereka adalah penduduk yang dizalimi dan ia sama sekali tidak dapat diterima,” kata Youcef Benberdal yang turut menyertai konvoi berkenaan.
Orang ramai turut mengadakan protes di Marseille, Lyon Strasbourg dan Bordeaux.
Di London, ribuan orang berkumpuk di luar kediaman rasmi perdana menteri di Downing Street sambil mengibarkan bendera serta sepandu menggesa kerajaan Britain meningkatkan tekanan ke atas Israel.
Pegawai Stop The War Coalition, Lindsey German, berucap kepada orang ramai dengan berkata, bantahan itu dianjurkan bagi menunjukkan kematian aktivis terbabit tidak sia-sia.
Sebaliknya, kata Lindsey, mereka berjaya menarik perhatian dunia kepada jenayah melampau Israel di Gaza. - AFP
No comments:
Post a Comment