Monday, June 7, 2010

Misi bantuan ke Gaza tetap diteruskan



CYPRUS - Free Gaza Movement yang mengetuai misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza akan menutup ibu pejabatnya di Cyprus tetapi tidak akan menghentikan penghantaran kapal ke Gaza. 

Jurucakap kumpulan itu, Greta Berlin berkata, ibu pejabat mungkin dipindahkan ke London dan rancangan menghantar kapal bantuan kemanusiaan dalam masa terdekat akan diteruskan sebagaimana dijadualkan. 

"Pejabat Free Gaza Movement di Larnaca, Cyoprus akan ditutup pada Isnin (hari ini) dan buat sementara waktu, aktivis pro-Palestin akan kembali ke negara masing-masing. 

"Kami tidak akan berhenti, kami hanya bertukar lokasi. Free Gaza Movement berjaya menolak Israel ke satu penjuru dan kami akan melakukannya lagi," katanya. 

Bulan lalu, Cyprus membuat keputusan tidak membenarkan mana-mana kapal berlayar ke Gaza dari pelabuhannya demi menjaga kepentingan negara. 

Antara Ogos 2008 dan Disember 2009, Free Gaza Movement menggunakan Cyprus yang terletak 400 meter dari Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan sebanyak lapan kali. 

Israel membenarkan kapal-kapal itu masuk ke Gaza lima kali tetapi menghalang kapal membawa bantuan kemanusiaan masuk ke perairan Gaza sejak Januari 2009 berikutan pertempuran rejim Zionis itu dengan pejuang Hamas. 

"Kalau kami kekal di sini, kerajaan Cyprus tentu akan menimbulkan pelbagai masalah kepada kami. Maka, lebih baik kami berpindah ke lokasi lain dan meneruskan misi penghantaran bantuan antarabangsa ke Gaza," kata Berlin. 

Dalam masa terdekat, tiga lagi kapal membawa bantuan kemanusiaan dijadual dihantar ke Gaza dan empat kapten sudah menawarkan diri untuk menyertai misi berkenaan.: 

"Israel perlu faham bahawa tiada apa-apa yang boleh dicapai dengan kekerasan," katanya.

No comments:

Post a Comment