KAHERAH: Setahun selepas Barack Obama berikrar memperbaharui hubungan Amerika Syarikat dan dunia Islam, harapan untuk melihat ia menjadi nyata bertukar dengan kekecewaan.
Dalam ucapan bersejarah itu, Obama menggariskan hubungan itu dibuat berdasarkan kepentingan bersama, selain saling hormat-menghormati berbanding pendekatan diambil presiden terdahulu, George W Bush.
Bekas tokoh perbankan, Rana Jarbou, berkata tiada satu pun usaha Obama boleh dianggap selari dengan janjinya di Kaherah.
Sebaliknya, kata Rana, Obama sekali lagi mengulangi retorik Bush mengenai keganasan.
“Dalam konflik Palestin - Israel, tiada langkah konkrit diambil walaupun seluruh rantau Teluk terjejas dengan isu itu,” katanya.
Serangan ganas komando rejim Zionis ke atas flotila kemanusiaan pada 31 Mei lalu lebih memburukkan imej Obama.
Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Luar Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki, Suat Kiniklioglu, berkata reaksi Rumah Putih terhadap serangan komando Zionis itu menjadi petunjuk kepada kredibiliti AS di Timur Tengah.
“Terserah kepada AS untuk menentukan bagaimana mereka akan berurusan dengan isu Timur Tengah nanti melalui reaksi terhadap serangan ke atas Mavi Marmara,” katanya.
Pengarah Pusat Kajian Timur Tengah di Universiti Oklahoma, Joshua Landis, berkata setahun lalu Obama berjanji menyelesaikan konflik Arab - Israel, bukannya meneruskan proses mencari damai.
“Sebaliknya kini Obama hanya menyambung proses yang dijalankan,” katanya.
Hasil undian dikendali firma YouGov, 60 peratus warga Arab yakin Obama terlalu lemah untuk menjadikan perjanjian damai satu realiti. - Agensi
No comments:
Post a Comment