Tuesday, June 8, 2010

Iran cuba cabar Israel




2010/06/08
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TEHERAN: Pertubuhan Bulan Sabit Merah Iran semalam berkata, mereka akan menghantar tiga kapal bantuan ke Gaza dalam cubaan terbaru dunia Islam memecahkan sekatan rejim Zionis ke atas wilayah Palestin.
Pengarah Hal Ehwal Antarabangsanya, Abdolrauf Adibzadeh, berkata pertubuhan itu turut menyediakan sebuah pesawat membawa 30 tan peralatan perubatan ke Mesir sebelum ia diserahkan pula ke pihak berkenaan di Gaza.
Kata Abdolrauf, kapal itu akan mula berlepas minggu ini sebelum diikuti satu lagi kemudian.

“Dua kapal pertama itu akan menuju Gaza dengan kerja sama kerajaan Turki.

“Satu daripadanya membawa 70 pekerja bantuan seperti jururawat dan doktor, manakala kapal kedua berisi makanan dan ubat-ubatan,” katanya.

Menurut agensi berita Irna, kapal ketiga akan dilengkapi dewan pembedahan dan akan berlayar ke wilayah Palestin itu pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Abdolrauf berkata, Pertubuhan Bulan Sabit Merah juga menyeru sukarelawan Iran bertindak sebagai pekerja bantuan dan menyertai dua kapal berkenaan.

“Sesiapa yang ingin menjadi sukarelawan Gaza dan membantu penduduk Palestin yang tertindas boleh merujuk kepada laman web kami untuk mendaftar,” katanya.

Pesawat yang dirancang diterbangkan ke Mesir juga, kata Abdolrauf, akan berlepas tidak lama lagi dengan diselaraskan Bulan Sabit Merah negara itu.

Pada Disember 2008, pertubuhan berkenaan menghantar sebuah kapal sarat berisi bekalan makanan dan ubat-ubatan untuk penduduk Gaza tetapi dihalang memasuki wilayah itu oleh tentera laut Israel.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, berkata penghantaran kapal seumpama itu adalah simbol ‘penentangan terhadap sekatan’ dikenakan Zionis.

“Jika kempen simbolik ini berterusan, akhirnya rejim Zionis akan menyerah dan ia pastilah menjadi satu daripada kekalahan terbesarnya,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment