2010/06/08
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, menyifatkan media massa tempatan sebagai batu api, yang bertindak membangkitkan isu panas sehingga menyebabkan wujudnya pertikaian antara kaum dan agama di negara ini. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata walaupun sudah dilaksanakan pelbagai program berkonsepkan keagamaan dalam media massa di negara ini, tetapi ia dilihat seolah-olah melepaskan batok di tangga saja kerana masih tidak mencukupi untuk mengatasi masalah berkaitan kaum serta agama.Katanya, media masa kini menjadi antara fakta yang menyusahkan pejuang Islam, dengan sanggup melabelkan Islam sebagai mundur, hidup zaman unta, memecahbelahkan orang tertentu selain dikatakan tidak membawa sebarang kemajuan. Sejak akhir ini, kita sering dihidangkan dengan banyak isu panas membabitkan pertikaian antara kaum dan agama yang ditimbulkan pihak tertentu termasuk melabelkan PAS sebagai parti perkauman, rasis, radikal dan sebagainya.
Malah, pertembungan ini (pertikaian antara kaum dan agama) semakin dahsyat apabila media massa dilihat seperti menyimbah minyak ke atas api pertikaian yang sudah sedia marak. Ini dilakukan semata-mata untuk kepentingan politik pihak tertentu.
Memang diakui wujud program berkonsepkan kaum dan agama dalam media massa, tetapi ia masih tidak cukup kerana terlalu banyak penyakit (masalah), sedangkan ubat diberikan itu sudah ditapis pihak tertentu, katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Hubungan Muslim-Non Muslim Dalam Konteks Malaysia, di sini, semalam.
Dalam ucapannya, Nik Aziz berharap semua pihak di negara ini mengetepikan isu yang boleh mengguris perasaan bangsa lain.
Katanya, kerajaan yang berkuasa bertanggungjawab memberi keadilan serta layanan baik bukan saja kepada umat Islam, malah seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial mereka.
Kita berharap dapat menjernihkan pandangan terhadap Islam, segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui pandangan perlu diatasi supaya kita semua dapat melihat warna Islam sebenar, katanya.
No comments:
Post a Comment