Tuesday, June 8, 2010

Israel tolak siasatan antarabangsa



BAITULMAQDIS - Kerajaan :Israel menolak mentah-mentah cadangan Pertubuhan Bangsa:-Bangsa Bersatu (PBB) supaya satu siasatan antarabangsa dijalankan berhubung serangan maut ke atas konvoi kemanusiaan ke Gaza, kelmarin. 

Kerajaan rejim Zionis itu dengan angkuh menegaskan, negara tersebut mempunyai hak untuk menjalankan siasatan sendiri. 

Duta Israel di Amerika Syarikat (AS), Micheal Oren berkata, Israel enggan siasatan antarabangsa diadakan, sebaliknya mahu berbincang dengan sekutu kuatnya, AS, mengenai siasatan dalaman yang akan dijalankan Israel. 

“Israel adalah negara demokratik dan mempunyai keupayaan untuk menjalankan siasatan sendiri, jadi tidak perlu disiasat oleh mana-mana panel antarabangsa,” katanya. 

Setiausaha Agung PBB, Ban ki-Moon menggesa panel antarabangsa dibentuk, diketuai bekas Perdana Menteri New Zealand, Geoffrey Palmer dan dianggotai wakil dari Turki, Israel dan AS bagi menyiasat insiden berdarah, 31 Mei lalu. 

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum itu berbincang dengan Ban ki-Moon dalam satu panggilan telefon mengenai cadangan panel antarabangsa tersebut. 

Bagaimanapun, Netanyahu memaklumkan menteri kabinetnya bahawa Israel akan menimbang menggunakan pendekatan lain untuk menjalankan siasatan. 

Sembilan warga Turki, termasuk seorang warga AS-Turki, terbunuh dalam serangan tentera Israel ke atas Mavi Marmara, kapal induk konvoi Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam usaha menamatkan sekatan Israel ke atas Genting Gaza.

No comments:

Post a Comment