Tuesday, June 8, 2010
Pakatan mahu tahu tahap kesihatan Sultan Kelantan
SHAH ALAM - Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (Pakatan) mohon perkenan Pemangku Raja Kelantan maklumkan keadaan sebenar tahap kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra.
Presidennya, Datuk Noordin Ab Razak berkata tindakan itu bagi memudahkan rakyat mengetahui keadaan kesihatan Sultan yang dikasihi agar rakyat tidak tertanya-tanya.
Beliau juga memohon agar laporan panel perubatan yang telah memeriksa tahap kesihatan Sultan Kelantan diumumkan kepada seluruh rakyat jelata.
“Kami juga mohon agar Pemangku Raja Kelantan mencari jalan untuk menangani sebaik mungkin mereka yang telah dan cuba untuk menyebarkan berita yang tidak benar berkaitan dengan tahap kesihatan baginda,”katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Noordin berkata, anak-anak Kelantan di perantauan yang bernaung di bawah Pakatan merakamkan tahniah atas keprihatinan Pemangku Raja Kelantan terhadap apa yang berlaku kebelakangan ini dan telah berjaya menanganinya dengan penuh berhati-hati dan cermat
“Apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak telah mencalar imej Kesultanan Kelantan dan telah menggoyang keutuhannya.
“Kami yakin dengan kebijaksanaan dan daya kepimpinan yang ditunjukkan oleh Pemangku Raja Kelantan selama ini dengan dibantu oleh pemimpin negara, keharmonian, kekuatan dan keutuhan Institusi Kesultanan Kelantan akan kembali pulih malah akan lebih hebat lagi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian semalam.
Menurut Noordin, kami juga ingin Pemangku Raja Kelantan agar mencari jalan untuk menjamin keutuhan Institusi Kesultanan Kelantan sebagaimana sedia kala.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment