Tuesday, June 8, 2010

Ratu Jordan kecam Israel




2010/06/08



Serangan ke atas kapal misi bantuan disifatkan kejam

AMMAN: Permaisuri Jordan, Rania, mengecam Israel berikutan serangan ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan Mavi Marmara ke Semenanjung Gaza dan memberi amaran dasar keras rejim Zionis ke atas penduduk Palestin hanya menambah lagi kesengsaraan penduduk awam di wilayah itu.

Beliau menulis kepada akhbar The Independent semalam dan berkata, sekatan Israel ke atas penduduk di Semenanjung Gaza menjadikan wilayah itu sebuah penjara terbuka dan menambah: Setiap hari yang berlalu di wilayah itu bererti sehari lagi nilai kemanusiaan disekat.
Serangan Israel ke atas konvoi yang cuba memecahkan sekatan dan menyebabkan sembilan aktivis terbunuh dilakukan secara membabi-buta tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa, hak asasi dan peraturan diplomatik.
Walaupun saya tergamam ketika menyaksikan serangan kejam Israel, saya tidak terkejut dengan apa yang mereka lakukan, katanya.

Permaisuri kepada Raja Jordan Abdullah II itu berkata tindakan Israel didokong oleh doktrin bahawa matlamat utama mereka adalah survival menyebabkan rejim Zionis beranggapan mereka boleh melakukan apa saja.

Mereka anggap diri mereka berkuasa, kebal dan ada lesen untuk berbuat sesuka hati dan tidak menjangka menerima kecaman antarabangsa, katanya.

Rania memberi amaran, keganasan yang dilakukan tidak akan meredakan keadaan, sebaliknya semakin memburukkan suasana, manakala penduduk awam adalah golongan yang paling terasa kesannya.
Jordan yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1994, mengecam tindakan Israel dan menggesa siasatan dijalankan ke atas serangan tersebut. AFP

No comments:

Post a Comment