Oleh S Anand Kumar
2010/06/08
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Malaysia tidak akan bankrap seperti yang berlaku kepada Greece dan Iceland berikutan kejayaan negara mengekalkan hutang di paras terkawal.Perdana Menteri berkata, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan akan terus dirancang, dipantau dan dikawal dengan baik serta bertanggungjawab."Paras defisit dijangka akan turun dan paras hutang akan terus terkawal pada jangka masa sederhana dan panjang.
"Usaha ini akan membantu memastikan paras hutang dan defisit Kerajaan Persekutuan tidak akan meningkat sehingga menjejaskan kemampuan negara membayar balik hutang," kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada sidang Parlimen.
Lim dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang diambil untuk memastikan Malaysia tidak menjadi seperti Iceland dan Greece yang bankrap dan memerlukan bantuan daripada masyarakat serantau.
Perdana Menteri berkata, tahun lalu, jumlah hutang negara berkurangan kepada RM233.92 bilion daripada RM236.18 bilion tahun sebelumnya walaupun peratusannya meningkat sedikit.
Beliau berkata, pengurangan itu adalah disebabkan bayaran balik bersih hutang jangka sederhana dan panjang oleh Kerajaan Persekutuan serta sektor swasta yang lebih mengimbangi ambilan bersih lebih besar oleh Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK).
"Kekukuhan nilai ringgit berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) juga menyumbang kepada penurunan hutang luar negara secara keseluruhan.
"Nisbah khidmat hutang luar negara pada 31 Disember tahun lalu dianggarkan pada tahap tujuh peratus, mencerminkan kekukuhan pendapatan eksport untuk membayar tanggungan hutang.
"Nisbah rizab antarabangsa kepada hutang luar jangka pendek lebih daripada mencukupi bagi menampung 4.2 kali hutang luar jangka pendek," katanya.
Perdana Menteri berkata, selain itu kerajaan juga mengambil beberapa langkah khusus untuk mengurangkan hutang luar negara.
"Dasar semasa kerajaan ialah mengutamakan pinjaman dalam negeri yang tidak menyebabkan inflasi. Ini adalah kerana mudah tunai yang tinggi di pasaran domestik serta kos pinjaman yang lebih murah.
"Selaras dengan matlamat konsolidasi kedudukan fiskal secara berperingkat, Bajet 2010 memberi penekanan kepada langkah untuk menambah baik keberkesanan dan kecekapan pendapatan serta perbelanjaan kerajaan.
"Kerajaan sedang mengkaji penstrukturan sistem subdisi bahan api yang juga sebahagian besar dalam perbelanjaan tahunan kerajaan," katanya.
Perdana Menteri berkata, bagi memperkukuhkan aliran pendapatan, kerajaan sedang berusaha memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
"Menerusi GST, asas pendapatan kerajaan akan diperluas dan sekali gus lebih terlindung daripada ayunan kitaran harga minyak," katanya.
No comments:
Post a Comment