Thursday, July 29, 2010

21 kes pelajar sekolah mengandung luar nikah


KUALA LUMPUR 28 Julai - Kementerian Pelajaran hanya mengesan sebanyak 21 kes pelajar yang mengandung luar nikah di sekolah bandar dan luar bandar antara tahun 2006 dan 2010.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, 12 kes yang direkodkan itu berlaku di sekolah luar bandar sementara sembilan kes lagi di sekolah bandar.
"Sebanyak 20 kes mengandung luar nikah itu berlaku berdasarkan suka sama suka antara pelajar dan pasangan mereka sementara satu kes melibatkan jenayah rogol.
"Kesemua kes ini dikumpulkan berdasarkan sumber laporan akhbar, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah terbabit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Menurut beliau, masalah sosial ini berterusan berikutan naluri kedewasaan pelajar di samping kebebasan keterlaluan yang diberi keluarga sehingga ada kejadian berkenaan berlaku di rumah dan bilik pelajar itu sendiri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman yang meminta penjelasan mengenai jumlah kes pelajar perempuan mengandung luar nikah, mengapa masalah sosial ini berlaku dan tindakan yang diambil ke atas pelajar terbabit pada sidang Dewan Negara hari ini.
Tambah Mohd. Puad, pelajar yang dilaporkan mengandung luar nikah juga tidak boleh dibuang dari sekolah mengikut Akta Pendidikan 1966 tetapi akan dinasihatkan bercuti sehingga mereka bersalin.

No comments:

Post a Comment