Thursday, July 29, 2010

Politik boleh tapi jangan taksub


SEREMBAN 28 Julai - ''Boleh berpolitik tetapi jangan terlalu taksub sehingga lupa peranan mendidik anak bangsa.''
Ingatan itu disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik.
Beliau berkata, ketaksuban segelintir guru dalam bidang politik hanya akan menyebabkan anak didik mereka ketinggalan dalam bidang pelajaran dan sudah pastinya tugas hakiki mereka turut terencat.
''Mereka perlu pandai membahagikan masa dengan baik. Boleh berpolitik tetapi jangan sampai mengganggu prestasi dan matlamat pendidikan anak-anak di sekolah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini.
Mohamad berkata, keputusan itu sekali gus memberi ruang kepada warga pendidik mengisi kekosongan dalam memberikan pandangan serta idea dalam usaha membangun dan mengisi kemerdekaan.
Jelasnya, peranan guru dalam pasca dan sebelum kemerdekaan tidak dapat dinafikan malah mereka juga menjadi jambatan kepada masyarakat dan juga kerajaan satu ketika dahulu.
''Kita perlu tahu bahawa peranan guru satu ketika dahulu penting dalam memperjuangkan kemerdekaan. Selepas mendapat kemerdekaan, mereka jugalah yang mengisi kekosongan membantu masyarakat dalam membasmi kemiskinan.
''Jadi sekarang ini kerajaan telah memberikan ruang kepada mereka, idea-idea mereka amat diperlukan dalam memastikan kelangsungan pembangunan negara dapat diteruskan," kata Mohamad.
Dalam pada itu Mohamad turut menyampaikan sumbangan kepada 30 penerima yang terdiri daripada pihak sekolah, kelab, persatuan serta orang perseorangan.

No comments:

Post a Comment