Nelayan Tanjung Leman rayu bantuan
MERSING 28 Julai - Lebih 50 nelayan Tanjung Leman dekat sini merayu agar Jabatan Perikanan daerah menghulurkan bantuan peralatan bagi meningkatkan hasil tangkapan dan sumber pendapatan mereka.
Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Tanjung Leman, Sahdan Isnin, 53, berkata, ia penting bagi membolehkan mereka turut menerima bantuan seperti nelayan lain di kawasan lain di daerah ini.
"Waktu ini, nelayan di Mersing dan Sedili Kota Tinggi menerima bantuan peralatan tetapi kami di Tanjung Leman tak dapat apa-apa jadi terasa seperti dianaktirikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambahnya, persatuan itu telah mengutarakan masalah tersebut kepada jabatan itu namun pihak terbabit mengatakan tiada peruntukan bantuan untuk nelayan-nelayan di Tanjung Leman.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka berasa seolah-olah dipinggirkan daripada mendapat bantuan sedangkan mereka adalah nelayan sah yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Mersing.
Nelayan bot kecil, Rohim Man, 48, pula berkata, hasil perbincangannya dengan pihak terbabit mendapati alasan yang diberikan oleh jabatan agak pelik iaitu kedudukan Tanjung Leman berada di tengah-tengah antara Mersing dan Sedili menyebabkan bantuan itu tidak dapat diberikan.
"Mereka kata, kami bukan nelayan Mersing dan bukan juga nelayan Sedili jadi kami sendiri tak tahu kami ini di daerah mana?
"Walhal lesen nelayan kami dikeluarkan oleh pejabat Perikanan Mersing," katanya.
Nelayan lain, Misman Darkob, 48, berkata, walaupun kenaikan harga minyak baru-baru ini dilihat tidak menjejaskan nelayan namun bantuan peralatan itu dilihat akan melegakan perbelanjaan harian mereka.
"Sehari kos minyak lebih kurang RM54 untuk 45 liter, itu tiada masalah tetapi kalau ada bantuan enjin, jaring, pukat atau peralatan lain maka semakin kurang belanja dan kos kami," jelasnya.
Tambahnya, dengan peralatan tambahan seperti pukat maka hasil tangkapan juga dapat ditingkatkan kerana banyak lokasi boleh dilabuhkan jaring tersebut.
Bagaimanapun, anaknya, Mohd. Saiful, 19, berkata, awak-awak seperti dia juga sepatutnya dipertimbangkan untuk diberi bantuan tersebut dan ia tidak wajar dihadkan kepada pemilik bot sahaja.
Nelayan muda itu berkata, bantuan tersebut perlu diberikan kepada golongan awak-awak dengan kadar berpatutan kerana mereka setakat ini tidak menerima sebarang bantuan seperti subsidi minyak dan sebagainya.
Justeru, dia meminta agar jabatan itu mempertimbangkan rayuan itu agar kebajikan mereka lebih terbela.
No comments:
Post a Comment