KUALA LUMPUR 28 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar)menyelar segelintir pemimpin politik yang mempunyai hubungan baik dengan media asing kerana beliau percaya, organisasi media yang kebanyakannya didokong oleh Yahudi itu mempunyai niat tidak baik terhadap keharmonian Malaysia.
Beliau berpengalaman mentadbir Malaysia selama 22 tahun berkata, media asing sentiasa mempunyai agenda untuk menjatuhkan kerajaan.
Tegas beliau lagi, propaganda itu lebih mudah apabila terdapat pemimpin politik tempatan sendiri yang sanggup memberi kerjasama demi kepentingan peribadi.
"Terdapat sesetengah ahli politik (merujuk kepada pembangkang) menggunakan media asing untuk kepentingan diri sendiri. Sedangkan pada masa yang sama mereka juga dipergunakan oleh media asing yang hendak melihat perubahan kerajaan yang didakwa mereka sebagai 'rejim'.
"Media asing yang dilihat cukup rapat dengan pemimpin tertentu sebenarnya mahu ahli politik itu menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan kepimpinan sedia ada yang dipilih oleh rakyat," katanya semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Media Sosial dan Penulis Blog Asia 2010, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengulangi kecaman terhadap kewajaran pihak tertentu membayar RM1 juta kepada bekas Perdana Menteri Britian, Tony Blair, dalam usaha untuk membawa apa yang didakwanya sebagai penjenayah perang-berucap di Persidangan Pencapaian Kebangsaan 2010 April lalu.
"Blair adalah seorang penipu dalam usahanya untuk menghalalkan perang terhadap Iraq yang akhirnya membunuh ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa. Beliau berbohong bukan sahaja kepada dunia malah Parlimen Britian apabila mendakwa Iraq berupaya memusnahkan negara itu dalam masa 45 minit.
"Tetapi kita bawa seorang penjenayah perang untuk berucap dan mendidik rakyat negara ini dengan bayaran RM1 juta. Pendidikan apa yang kita dapat daripada seorang pembohong? Penipu hanya akan mengajar kita bagaimana cara hendak menipu, itu sahaja," katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh para penulis blog.
Sementara itu, mengulas perkara berasingan, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak menyaman penulis buku, Barry Wain, yang menuduhnya membazir sebanyak RM100 bilion sepanjang 22 tahun mentadbir Malaysia menerusi buku yang bertajuk 'Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times' kerana percaya kepada kebebasan bersuara.
Jelasnya, serangan politik perlu ditangani secara politik dan bukannya menggunakan platform mahkamah bagi tujuan menutup mulut seseorang daripada mengemukakan pandangan dan kritikan.
"Saya tidak pernah menyaman seseorang walaupun mereka mengkritik dan melemparkan dakwaan yang tidak benar kerana saya berpendapat setiap ahli politik perlu matang dalam menghadapi semua ini dan bukan menggunakan mahkamah untuk menutup kebebasan bersuara.
"Lagipun, perbicaraan mahkamah akan mengambil masa yang lama. Sama seperti yang berlaku hari ini, apabila terdapat individu tertentu yang sengaja menggunakan taktik melambat-lambatkan perbicaraan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment