Thursday, July 29, 2010

Tuan rumah Piala Dunia hanya angan-angan Mat Jenin


KUALA LUMPUR 28 Julai - Beberapa Ahli Dewan Negara hari ini menyifatkan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa Malaysia berminat menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Dunia bersama Indonesia pada 2026 sebagai 'angan-angan Mat Jenin'.
Menurut mereka, hasrat itu tidak akan menjadi kenyataan kerana negara ini tidak mempunyai pasukan bola sepak yang kuat sedangkan ia adalah antara ciri yang akan menentukan sesebuah negara itu dipilih sebagai tuan rumah.
Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkata, pasukan bola sepak Malaysia masih lagi tertinggal di belakang dengan kedudukan 142 dalam ranking dunia.
"Kalau kita bercita-cita hendak menjadi hos, kita kena melonjak ke tangga 66 yang kedudukan itu kini disandang oleh tuan rumah Piala Dunia baru-baru ini, Afrika Selatan.
"Setiap tahun kita perlu membuat sekurang-kurangnya lima anjakan dan akhirnya selepas 16 tahun kita akan sampai ke tangga 66," katanya.
Beliau bangun mencelah sewaktu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Sieu menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) peringkat kementeriannya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir turut mendesak Ahmad Shabery supaya melupakan hasrat berkenaan dan memintanya supaya memberi perhatian kepada pembangunan sukan tempatan terlebih dahulu.
"Saya minta, balik beritahu menteri, jaga sukan di negara kita ini sudahlah. Bola sepak kita hancur, badminton kita hancur, hoki kita pun tidak seberapa.
"Buat apa kita angan-angan Mat Jenin, hendak jadi hos Piala Dunia 2026. Tidak perlu angan-angan Mat Jenin, buat yang ada di Malaysia dulu lah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment