KUALA LUMPUR 28 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada pengurusan Pusat Pengajian Islam Hayatul Uloom di Hulu Langat, dekat sini yang terbakar dan mengorbankan seorang pelajarnya, Abdul Rahman Rosmali, 9, awal pagi Ahad lalu.
Sumbangan dalam bentuk cek itu disampaikan Perdana Menteri melalui Setiausaha Politiknya, Datuk Jailani Ngah kepada Pengetua Hayatul Uloom, Dr. Shahrir Hussin di pusat berkenaan.
"Sumbangan ini sebagai lambang keprihatinan Perdana Menteri terhadap institut pengajian tahfiz di Selangor dan sebagai memberi semangat untuk mereka teruskan aktiviti pembelajaran di sini.
"Perdana Menteri juga bersedia untuk memberi bantuan lain sekiranya mereka memerlukannya," kata Jailani.
Menurut beliau, Najib secara peribadi turut mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar yang terkorban namun pada masa yang sama mahu aktiviti pengajian di tempat itu diteruskan.
Pusat yang didirikan di atas tanah persendirian seluas 0.8 hektar itu menempatkan 25 pelajar.
Bagaimanapun, 80 peratus daripada banglo dua tingkat yang menempatkan pusat tahfiz itu hangus dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada ubat nyamuk tersebut.
Sementara itu, Shahrir yang terharu dengan sumbangan tersebut berkata, pihaknya telah memberi cuti kepada pelajar untuk sementara waktu.
"Selepas ini aktiviti pengajian akan diteruskan di sebuah bangunan sementara di Kampung Palil, kira-kira empat kilometer dari sini," katanya.
Menurut beliau, kebakaran itu menyebabkan pusat tersebut mengalami kerugian kira-kira RM180,000.
No comments:
Post a Comment