Friday, July 9, 2010

Beri maklumat rakyat daif




SEREMBAN – Pemimpin masyarakat disarankan memberi maklumat mengenai penduduk yang daif dan masih tidak menerima bantuan kepada pegawai Baitulmal. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, operasi baitulmal telah dikukuhkan sehingga peringkat daerah, membabitkan sistem penurunan kuasa yang membolehkan bantuan segera dilaksanakan. 

"Jika masih ada individu, keluarga dan masyarakat dalam keadaan daif serta tidak dapat bantuan, saya harap dan minta pemimpin masyarakat itu sendiri termasuk pengurusan masjid mengambil inisiatif membawa masalah ini ke tengah. 

"Kita tengah mengukuhkan operasi Baitulmal pada peringkat daerah. Ada pejabat Baitulmal dan sistem penurunan kuasa sudah mula dilakukan dengan kes yang memerlukan bantuan segera seperti kecemasan boleh dilakukan pada peringkat daerah tanpa perlu dibawa ke peringkat negeri," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan bulanan zakat Asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Orang Ramai Rantau, dekat sini, semalam. 

Menurutnya, ia adalah proses transformasi Baitulmal demi memudahkan dan melicinkan operasi. 

“Soal sama ada orang yang lebih layak dapat dan yang tidak layak tidak dapat adalah subjektif yang selalu disebut dalam masyarakat.

"Justeru, tugas mencungkil semua masalah rakyat perlu dilakukan dan ia di bawah tanggungjawab pemimpin akar umbi," katanya. 

Sehingga kini, seramai 6,000 orang menerima bantuan dan lebih 12,000 orang menjadi penerima berkala oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

No comments:

Post a Comment