Friday, July 9, 2010
Rumah PM jadi Muzium Warisan Sejarah
KUALA LIPIS - Rumah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri di Bukit Bius, di bandar Kuala Lipis menyimpan banyak nostalgia kepada keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu, rumah berkenaan juga sebuah monumen sejarah untuk tarikan pelancong serta tatapan generasi pada masa akan datang.
Rumah yang dibina pada 1920 begitu sinonim dengan Najib kerana ayahandanya, Tun Abdul Razak Datuk Hussein pernah tinggal di kediaman itu sewaktu bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri apabila Kuala Lipis dijadikan ibu negeri Pahang sejak 1898.
Di kediaman itulah, Najib dilahirkan, iaitu pada 23 Julai 1953 dan dibesarkan dalam lingkungan masyarakat Melayu di bandar bersejarah Kuala Lipis sebelum bersekolah di Kuala Lumpur.
Rumah berkenaan kini sudah siap dibaik pulih menerusi Projek Konservasi dan Arkeologi, Jabatan Warisan Negara untuk pemuliharaan sebagai khazanah sejarah dan perspektif pembangunan pelancongan daerah itu.
Baru-baru ini, ketika merasmikan ulang tahun ke-50 penubuhan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah pada bulan Mac lepas, Najib bersama ibu, Tun Rahah Mohd Noah dan Datin Seri Rosmah Mansor sempat singgah di rumah berkenaan.
Rumah dua tingkat itu mempunyai reka bentuk seni bina Melayu Palladian, berbumbung ciri tradisional Melayu, manakala ukiran pada pintu dan dinding memaparkan motif Barat.
Kediaman itu dilengkapi beberapa bilik yang dibina menggunakan kayu hutan bermutu tinggi dan tahan lama tanpa dirosakkan oleh anai-anai dan pemusnah lain.
Gaya seni bina kediaman itu menggunakan ciri Eropah dan Melayu dengan dan reka bentuk tingkap yang banyak bagi memperoleh suasana udara Bukit Bius yang nyaman.
Rumah berkenaan mempunyai dua bilik tidur yang luas di kiri dan kanan termasuk bilik mandi yang luas. Dilengkapi dengan ruang untuk keluarga berkumpul di bahagian anjung, sementara ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur tetamu terletak di tingkat bawah.
Sebuah garaj kereta dibina agak jauh dari ruang utama rumah berkenaan, manakala rumah pekerja (amah dan tukang kebun) dihubungkan dengan jalan berbumbung ke ruang dapur di bahagian belakang kediaman itu.
Labels:
muzium
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment