Friday, July 9, 2010

Tetap saman RM200 juta

SUNGKAI: “Macam mana nak kata Felda bankrap. Dari segi wang tunai, Felda kini mempunyai simpanan kira-kira RM1.3 bilion dan ini tidak termasuk yang terdapat dalam beberapa anak syarikatnya seperti Felda Ventures Bhd dan Felda Holdings Bhd,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Oleh itu, katanya, Felda akan tetap meneruskan tindakan mahkamah menyaman akhbar Suara Keadilan dan beberapa pemimpin pembangkang berhubung tuduhan liar dan tidak berasas yang dilontarkan kepada agensi yang banyak berjasa kepada peneroka itu.
Beliau berkata, tempoh diberikan seminggu bagi membolehkan Suara Keadilan memohon maaf atas tuduhan yang diberikan sudah tamat dan tindakan seterusnya adalah meneruskan saman RM200 juta terhadap akhbar Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana menyiarkan laporan dengan mendakwa Felda bankrap sebelum ini. “Tempoh seminggu sudah cukup dan kebetulan ia jatuh pada Hari Peneroka yang disambut hari ini (semalam). Oleh itu, suara perhimpunan (Hari Peneroka) memutuskan, kita jumpa di mahkamah,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka 2010 di Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) Kampus Tun Abdul Razak, di sini semalam. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Afdal serta Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusuf Noor.

Katanya, Felda bukan sahaja membuat beberapa pelaburan bijak untuk kesejahteraan rakyat namun diiktiraf sebagai sebuah institusi yang berjaya. “Felda mempunyai pelaburan saham dalam beberapa syarikat besar seperti MISC Berhad dan Maybank Bhd yang tersenarai di Bursa Malaysia dan jika saham itu dijual sekarang, ia boleh mencecah RM4.6 bilion. “Selain itu, beberapa ladang dimiliki Felda juga mempunyai nilai kira-kira RM10 bilion. Bagaimana mereka (Suara Keadilan) boleh membuat tuduhan sedemikian sebaliknya mereka yang menuduh Felda bankrap sebenarnya mereka yang bankrap idealisme dan moral,” katanya. Terdahulu, Mohd Najib turut merasmikan MRSMF Kampus Tun Abdul Razak yang paling moden dan tercanggih di negara ini membabitkan kos pembinaan kira-kira RM120 juta.

Sementara itu, lebih 10,000 peneroka dari tanah rancangan Felda di seluruh negara menghadiri majlis itu dan ia adalah sambutan Hari Peneroka paling besar pernah diadakan.

No comments:

Post a Comment