Friday, July 9, 2010

Zulkifli, Zahrain nafi sertai jelajah UMNO Selangor



KUALA LUMPUR 8 Julai - Dua bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini wakil rakyat Bebas menafikan dakwaan bahawa mereka akan terlibat dalam program jelajah UMNO Selangor untuk mendedahkan sandiwara pakatan pembangkang di negeri itu.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebaliknya berkata, beliau dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim merupakan Ahli Parlimen Bebas dan akan terus bergerak secara neutral tanpa memberi sokongan kepada mana-mana pihak.
"Laporan yang dikeluarkan oleh The Malaysian Insider ini bukan sahaja tidak beretika, ada agenda tersembunyi dan putar belit malah bertujuan melakukan 'pembunuhan karakter' kami sebagai Ahli Parlimen Bebas.
"The Malaysian Insider seharusnya menghubungi saya dahulu untuk mengesahkan perkara itu, tetapi ia tidak dilakukan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Zulkifli mengulas laporan The Malaysian Insider yang menyebut beliau dan ahli-ahli Parlimen Bebas khususnya mereka yang meninggalkan PKR awal tahun ini akan menyertai program jelajah UMNO Selangor untuk mendedahkan sandiwara pakatan pembangkang di negeri itu.
Laporan yang dikeluarkan itu dikatakan dipetik daripada laman web UMNO online.
Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, UMNO Selangor akan mengadakan program jelajah seluruh Selangor bagi mendedahkan pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan pakatan pembangkang terhadap rakyat di negeri itu.
Zahrain berkata, beliau, Zulkifli dan ahli Parlimen dalam Konsensus Bebas yang lain akan terus menjadi wakil rakyat Bebas dan tidak pernah memihak kepada mana-mana parti.
"Perkataan Bebas itu sendiri sudah melambangkan pendirian kami. Jadi, tidak timbul kami akan menyertai program jelajah UMNO itu nanti.
"Saya mahu The Malaysian Insider menarik balik kenyataan itu kerana ia tidak betul," katanya.

No comments:

Post a Comment