Friday, July 9, 2010

Perkasa bidas Pemuda MCA



KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, menggesa polis menyiasat kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Chai Kim Sen, mengenai isu disifatkan sensitif yang disiarkan sebuah portal berita, Khamis lalu:. 

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, kenyataan Kim Sen boleh menimbulkan ketegangan antara kaum serta menjejaskan keharmonian negara. 

Abdul Rahman mengulas kenyataan Kim Sen yang disifatkannya sebagai biadab, apatah lagi ia datang daripada parti komponen Barisan Nasional (BN). 

"Kim Sen juga mengeluarkan kenyataan bahawa Pemuda MCA akan menyerang balik habis-habisan dan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan maruah MCA sekiranya kerajaan berdiam diri berhubung isu artikel Suara Perkasa yang menggesa Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dalam pemberian biasiswa. 

“Ini menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan ahli Perkasa dan orang Melayu yang menyokong perjuangan Perkasa kerana kenyataan Kim Sen jelas boleh menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis, semalam. 

Abdul Rahman juga berpendapat, kenyataan Ka Siong yang menyentuh isu sensitif berkaitan biasiswa jelas menunjukkan beliau tidak membawa konsep 1Malaysia, tetapi membawa konsep perjuangan 'Malaysian Malaysia' yang diperjuangkan DAP. 

“Pada pendapat Perkasa, Ka Siong tidak layak jadi Timbalan Menteri Pelajaran kerana terang-terang menimbulkan isu sensitif berhubung Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment