Friday, July 9, 2010

Tun Razak wiraku – Dr. Barlow, ahli pertanian terkemuka



09/07/2010 5:55pm

MELBOURNE 9 Julai – Ahli pertanian terkemuka Australia memberi penghormatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein atas wawasan beliau dalam membangunkan skim pembangunan tanah dan meningkatkan tahap perkebun kecil di Malaysia pada tahun 1960-an.
"Tun Abdul Razak merupakan wira saya,” kata Dr. Colin Barlow pada persidangan dwitahunan ke-18 Persatuan Pengajian Asia Australia, di University of Adelaide, Australia Selatan semalam, semasa membentangkan kertas kerja berjudul “Peralihan Pertanian Malaysia 1960-2010”.
Dr. Barlow berkata, semasa tiba di Kuala Lumpur pada 1963 untuk berkerja di Institut Penyelidikan Getah, beliau mendapati agensi-agensi luar bandar dan badan-badan penyelidikan tidak berdaya memajukan pertanian Malaysia, dan banyak yang perlu dilakukan.
"Apa yang diperlukan pada situasi 1960-an ini ialah menumpukan terhadap meningkatkan taraf hidup individu dan pekebun kecil. Kita memerlukan tokoh yang mempunyai kuasa, mempunyai perasaan yang sama, selari dengan aspirasi masyarakat luar bandar.
"Dan ciri-ciri tersebut ditemui pada Tun Abdul Razak. Beliau merupakan arkitek yang menggunakan aplikasi amali untuk memenuhi kehendak ramai - wira saya.”
Dr. Barlow berkata, Tun Abdul Razak merupakan individu yang memiliki wawasan hebat serta kemahiran kepimpinan dan pentadbiran.
Beliau memudahkan pengurusan penanaman semula dan skim pembangunan tanah baharu, kata Dr. Barlow.
"Tun Abdul Razak menerajui pembangunan utama terhadap pendidikan dan kesihatan luar bandar, serta pembinaan jalan dan infrastruktur lain, dan meneruskan usaha itu pada 1970-an bagi merintis transformasi nasional yang lebih meluas menerusi Dasar Ekonomi Baru,” katanya.
Dr. Barlow yang terlibat dalam pembangunan luar bandar selama beberapa tahun, khususnya di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Sri Lanka, memberitahu persidangan itu, “inisiatif penting tambahan” pada 1960-an di Malaysia termasuklah penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), yang bermula pada kedudukan yang sukar sehingga menjadi agensi yang sangat berjaya”.
Felda membuka dan mengurus banyak kawasan pertanian baharu, bermula dengan tanaman getah, diikuti kepala sawit, katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment