Thursday, July 22, 2010

Ezam serah bukti ke Istana


KUALA LUMPUR 21 Julai - Fail yang mengandungi segala bukti agenda jahat beberapa individu dan pengamal media bagi memburukkan imej pembinaan Istana Negara telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Ezam Mohd. Noor menyerahkan bukti tersebut kepada Seri Paduka melalui Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohd. Zuki Ali di Istana Negara hari ini.
Ezam memberitahu, fail itu antara lain mengandungi bukti-bukti penglibatan beberapa individu, salinan catatan blog dan Twitter serta keratan akhbar.
"Saya turut lampirkan catatan seorang pegawai kerajaan negeri Selangor yang membandingkan kos pembinaan Istana Negara dengan kos satu taman tema di Amerika Syarikat di dalam Twitter.
"Selain itu, salinan surat bertarikh 13 Julai 2010 yang saya hantar kepada Kementerian Dalam Negeri juga diserahkan kepada Seri Paduka,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan Istana Negara di sini hari ini.
Awal Julai lalu, Ezam mendakwa akhbar The Star dan portal berita propembangkangMalaysiakini mempunyai niat jahat tersembunyi apabila menyiarkan laporan yang bersifat provokasi bagi menimbulkan rasa marah rakyat terhadap institusi diraja negara ini.
Laporan itu menyifatkan pembinaan Istana Negara yang baru sebagai "istana air mata" kerana menghadapi masalah dalam pembayaran gaji membabitkan pekerja asing.
Dalam pada itu Ezam menjelaskan, tindakan beliau menyerahkan bukti itu ialah bagi menyatakan pendirian teguh beliau yang tidak akan berkompromi dengan agenda jahat pihak terbabit untuk menjatuhkan maruah Istana Negara.
"Hari ini saya tampil untuk mengotakan apa yang saya katakan dulu, iaitu menyerahkan bukti wujudnya konspirasi tersembunyi yang berniat jahat terhadap Istana Negara.
"Saya tidak akan berganjak daripada pendirian ini kerana saya mempunyai bukti kukuh,'' katanya.

No comments:

Post a Comment