KOTA BHARU: Selepas enam hari menerima rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra akhirnya dibawa pulang menaiki pesawat khas Kerajaan Malaysia, petang semalam.
Kepulangan baginda diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Hamid dan anakanda kedua baginda yang juga Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz, kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Baginda disorong menggunakan kerusi roda khas menuruni lif sebelum menuju ke permaidani kuning yang dibentangkan di sepanjang laluan keluar sehingga ke pintu kenderaan rasmi.
Terdahulu, Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad dilihat berada di kawasan lapangan terbang terbabit bersama beberapa orang kenamaan menunggu kepulangan Sultan Kelantan itu.
Sebaik Tuanku Ismail Petra tiba pada jam 1.20 tengah hari, sekumpulan wartawan dan jurugambar tidak dibenarkan melepasi kawasan pintu masuk bilik menunggu khas, sebaliknya merakamkan gambar dari jarak jauh.
Bagaimanapun, suasana di pekarangan agak kecoh seketika apabila seorang kerabat diraja menghalau sekumpulan wartawan dan jurugambar yang ingin mendapatkan maklumat membabitkan kepulangan Tuanku Ismail Petra.
Kerabat terbabit kemudian bertindak mengarahkan polis bantuan menghalau wartawan daripada berada di kawasan berkenaan sedangkan lokasi terbabit adalah kawasan awam.
Tindakan terbabit nyata tidak disenangi sekumpulan wartawan yang berada di situ kerana mereka sekadar menjalankan tugas membuat liputan kepulangan Tuanku Ismail Petra.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, Tuanku Ismail Petra bertolak dari Lapangan Terbang Changi, Singapura pada jam 12 tengah hari selepas menerima rawatan enam hari di Hospital Mount Elizabeth.
“Baginda bertolak dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Lapangan Terbang Changi, Singapura dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail, pada jam 1.20 tengah hari.
“Turut mengiringi kepulangan baginda, Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz dan keluarga terdekat manakala Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra berada di Singapura,” katanya ketika dihubungi, semalam.
No comments:
Post a Comment