Thursday, July 22, 2010

Rundingan dua parti politik berbeza perkara biasa – Azizan


ALOR SETAR 21 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan sebarang rundingan antara dua parti politik yang berbeza seperti UMNO dengan Pas merupakan amalan biasa bukan sahaja di negara ini malah di luar negara.
Beliau selaku Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, di luar negara seperti England, parti Konservatif dengan parti Liberal Demokrat juga mengadakan rundingan untuk menyelesaikan beberapa perkara yang berlaku dalam negara.
“Malah sewaktu Perang Dunia Kedua, pernah berlaku kesemua parti di England bersatu untuk menentang Hitler dan di Malaysia juga pada 1974, kerajaan campuran iaitu UMNO dan Pas terbentuk selepas berlakunya rundingan antara dua parti berbeza pendapat.
“Hari ini, mungkin diadakan perundingan antara UMNO dengan Pas sekiranya banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan selepas pilihan raya demi kebaikan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darulaman di sini hari ini.
Menteri Besar Kedah itu mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai saranan Dewan Pemuda Pas supaya UMNO dan Pas mempunyai satu pelan damai atas nama Islam supaya persengketaan yang panjang antara kedua-dua parti tersebut dapat ditamatkan.
Dalam masa sama, Azizan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, rundingan antara kedua-dua parti tersebut mungkin boleh dijadikan tempat untuk Pas menegur UMNO berhubung beberapa perkara yang dilakukan parti tersebut sehingga melanggar amalan demokrasi.
Ditanya lebih lanjut mengenai pelan damai itu, beliau menjelaskan, Pas di negeri ini tidak memerlukan langkah seumpama itu kerana tidak pernah ‘bergaduh’ dengan UMNO, sebaliknya hanya merupakan dua buah parti politik yang bertentangan pendapat.
“Di mana-mana negara di dunia, apabila ada kerajaan sudah tentu ada pembangkang, biasalah parti kerajaan akan mempertahankan kerajaannya manakala parti pembangkang pula mahu menjatuhkan kerajaan. Itu perkara biasa dalam amalan demokrasi, bukannya bergaduh.
“Jadi kita tidak memerlukan pelan damai, sebaliknya UMNO yang memerlukan pelan damai kerana masalah dalaman parti seperti berlaku dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO, tapi saya tak mahu campur, itu urusan rumah-tangga mereka,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment