Thursday, July 22, 2010

UMNO sekarang seperti ' hidung tak mancung pipi tersorong-sorong'

Jangan kenakan syarat – Khairy

KUALA LUMPUR 21 Julai – “Jangan kenakan sebarang syarat jika hendak mewujudkan pelan damai.” Demikian tegas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika diminta mengulas mengenai pelan damai antara UMNO dan Pas yang diutarakan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan semalam.
Jelas Khairy, Nasrudin sebenarnya menggariskan satu syarat secara tidak langsung kepada UMNO dalam usaha untuk mewujudkan pelan damai berkenaan.
“Kalau kita baca dan teliti kenyataan beliau secara keseluruhan, Nasrudin tidak menyatakan kesediaan Pas untuk menyertai kerajaan sebaliknya beliau meminta UMNO supaya menyertai pakatan pembangkang.
“Sehubungan itu, saya tidak bersetuju dengan rancangan pelan damai tersebut kerana Pas dilihat tidak ikhlas dan meletakkan syarat yang tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nasrudin sebelum ini mencadangkan agar satu pelan damai atas nama Islam diwujudkan di antara UMNO dan Pas supaya persengketaan yang panjang antara kedua-dua parti tersebut berjaya ditamatkan.
Sementara itu, bekas Exco Pemuda UMNO, Datuk Firdaus Ismail berkata, beliau menyambut baik hasrat untuk mewujudkan pelan damai tersebut.
“Sekiranya pelan damai itu dilaksanakan, saya yakin perpaduan Melayu dan Islam akan menjadi lebih kukuh lagi.
“Sudah sekian lama kita nantikan pelan damai seumpama ini,” katanya.
Menurut Firdaus, Pas di dalam pakatan pembangkang tidak memainkan peranan yang menampakkan mereka sebagai pejuang yang mahu menegakkan bangsa dan agama.
Namun sebaliknya, UMNO lebih dominan ke arah itu untuk membela nasib bangsa dan agama dalam Barisan Nasional.
“UMNO tiada sebarang halangan untuk melaksanakan pelan damai itu, namun pihak Pas harus ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menjayakannya.
“Jika pelan damai ini menjadi kenyataan, saya yakin kaum Melayu dan agama Islam tidak akan mudah untuk dieksploitasikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment