Thursday, July 22, 2010

KSSB punca curi pasir berleluasa


BANGI 21 Julai – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin menafikan penglibatan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) dalam kegiatan mengorek pasir tanpa permit namun bagi pemandu lori pasir haram, syarikat itu adalah punca aktiviti berkenaan berleluasa.
Beberapa pemandu lori yang diupah mengangkut pasir curi ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini mendakwa tindakan kerajaan negeri menjadikan KSSB sebagai syarikat tunggal mengurus dan mengawal perlombongan pasir menyebabkan pelombong pasir lain tiada pilihan kecuali bergerak secara haram.
Menurut mereka, terdapat beribu-ribu syarikat dan orang perseorangan memohon permit untuk menjalankan kegiatan melombong pasir secara sah di negeri ini tetapi tiada satupun diluluskan.
Seorang pemandu lori, Ahmad Ridwan, 23, berkata, dia terpaksa menjual pasir curi kerana tiada pilihan setelah permohonannya mendapatkan permit melombong pasir daripada kerajaan negeri tidak diluluskan.
“Saya memang mahu melombong dan menjual pasir secara sah tetapi tidak mendapat peluang walaupun sudah menghantar lebih 10 permohonan dan memenuhi semua syarat yang ditetapkan,” katanya.
Seorang lagi pemandu lori yang mahu dikenali sebagai Tan, 29, berkata, dia sudah menjalankan perniagaan sewa lori kepada sindiket curi pasir di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, dia tidak pernah mengambil tahu siapa individu yang mengupah asalkan memperoleh pendapatan untuk menyara ibu bapanya yang sudah tua.
“Sepanjang pengetahuan saya, tiada satupun syarikat yang mengupah saya mempunyai permit melombong pasir, malah saya sendiri tidak kenal pemilik syarikat terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment