Thursday, July 22, 2010

Polis geledah ibu pejabat PKR cari bukti


PETALING JAYA – Polis menyerbu Ibu pejabat parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Perdagangan Merchant Square, tengah hari semalam, bagi mendapatkan bahan bukti yang digunakan seorang Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin berhubung penulisannya dalam blog yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor, baru-baru ini. 

Bagaimanapun, serbuan oleh 10 pegawai dan anggota polis masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Seremban, Negeri Sembilan dan Unit Forensik Bukit Aman pada jam 12 tengah hari itu gagal mendapatkan bahan bukti yang diperlukan. 

Ketika pemeriksaan di bangunan yang menempatkan pejabat PKR itu dilakukan, Badrul Hisham tidak berada di pejabat, namun muncul tidak lama kemudian setelah dimaklumkan oleh kakitangan PKR yang lain berhubung kehadiran polis. 

:Pengarah Komunikasi PKR, Jonson Chong berkata, pegawai dan anggota polis dari IPPK Seremban kemudiannya membatalkan serbuan itu, berikutan terdapat kesilapan teknikal serta kekeliruan pada waran geledah yang dibawa. 

:“Waran yang dibawa tidak lengkap kerana kandungannya tidak menyatakan secara jelas kesalahan serta barang yang hendak dibawa. 

:“Apa yang tercatat pada waran itu hanya kuasa majistret untuk membenarkan prosedur menggeledah dilakukan,” katanya setelah semua polis beredar kira-kira setengah jam selepas kejadian, semalam. 

:Beliau berkata, setelah pihaknya dan polis meneliti semula waran itu dan membuat perbincangan, kedua-dua pihak kemudiannya bersetuju untuk membatalkan operasi menggeledah Ibu pejabat parti pembangkang itu. 

“Saya tidak pasti jika polis akan datang semula selepas ini untuk melakukan serbuan lain kerana rundingan yang dibuat adalah rundingan secara langsung selama 15 minit antara polis dengan Badrul Hisham,” katanya. 

Difahamkan polis memperoleh waran untuk menggeledah ibu pejabat PKR bagi mendapatkan bahan bukti iaitu set komputer dan peralatan yang digunakan Badrul Hisham dalam penulisannya yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor. 

Bahan terbabit dipercayai dapat membantu polis menjalankan siasatan terhadap kes tersebut selepas polis menahannya selama tiga jam pada 10 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment