Thursday, July 22, 2010

Media perdana putaq belit

Media perdana dituduh timbulkan persepsi baru

KUALA LUMPUR 21 Julai – Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa hari ini menuduh media arus perdana cuba menimbulkan persepsi baru berhubung isu kerjasama antara UMNO dan Pas.
Sehubungan itu beliau mengingatkan semua ahli serta pemimpin Pas supaya tidak terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media tersebut kerana ia boleh merapuhkan kesatuan dalam parti berkenaan.
‘‘Pas masih berpegang dengan ketetapan yang dibuat dalam muktamar-muktamar lalu iaitu akan terus memfokus pada gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan bermatlamat membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru.
‘‘Saya juga menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli agar dapat melipatgandakan usaha memantapkan organisasi terutama di peringkat cawangan dan kawasan serta menambahkan keahlian semaksimum mungkin,’’ katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Kenyataan itu merupakan reaksi pertama Nasharudin terhadap usaha untuk menemukan UMNO dan Pas bagi membincangkan isu berkaitan dengan kepentingan Islam dan ummah.
Usaha tersebut mendapat sokongan sepenuhnya daripada golongan ulama, para pemimpin orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam dan Melayu.
Bagaimanapun nada Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan semalam berhubung perkara itu nyata berbeza apabila beliau mahu UMNO dan Pas berdamai atas nama Islam supaya persengketaan yang panjang antara kedua-dua parti tersebut berjaya ditamatkan.
Nasharudin dalam perkembangan sama berkata, paparan berita kerjasama UMNO dan Pas oleh media arus perdana telah mengelirukan sebahagian ahli Pas serta rakyat Malaysia secara umumnya.
‘‘Pihak media juga telah mendapatkan beberapa pandangan daripada pemimpin-pemimpin Pas di peringkat pusat, negeri dan kawasan berhubung perkara ini,’’ ujarnya.

No comments:

Post a Comment