Tuesday, September 14, 2010

Anak sulung Sosilawati urus perniagaan kosmetik




2010/09/14

ERNI  meninggalkan pejabat di Jalan Raja Bot, Kampung Baru selepas mengambil beberapa dokumen, semalam.
ERNI meninggalkan pejabat di Jalan Raja Bot, Kampung Baru selepas mengambil beberapa dokumen, semalam.
Erni dilantik Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Februari lalu 

KUALA LUMPUR: Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, 25, akan menguruskan perniagaan produk kosmetik jenama Nouvell Visages susulan kematian ibunya.Erni yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Sdn Bhd sejak Februari lalu oleh ibunya, berkata meskipun seluruh keluarganya masih menunggu keputusan DNA berhubung penemuan mayat kelmarin, buat sementara waktu beliau akan menguruskan empayar perniagaan itu.
Katanya, perniagaan masih berjalan seperti biasa dan stabil tanpa peningkatan atau kemerosotan permintaan daripada stokis di seluruh negara, walaupun kes itu sedang hangat diperkatakan. 

“Urusan perniagaan dan kes ini dua hal berbeza untuk dibincang kerana setakat ini perniagaan tidak terjejas. 

“Bagaimanapun, operasi perniagaan ditutup bermula 10 September lalu dan akan dibuka seperti biasa Rabu ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan pejabat Nouvelle Beauty Sdn Bhd, di sini semalam. 

Tinjauan ke Pejabat Nouvelle Beauty di Jalan Raja Bot, Kampung Baru di sini mendapati ia ditutup sempena Aidilfitri berdasarkan notis makluman di pintu masuk premis. 
Erni menjelaskan, kehadirannya ke premis terbabit bagi mengambil dokumen penting berkaitan urusan perniagaan bagi menyelesaikan kes mahkamah, namun enggan mengulas lanjut sama ada berkaitan kehilangan ibunya. 

Sementara itu, suasana di CIMB Bank cawangan Kampung Baru di sini, iaitu tempat Noorhisham Mohammad, antara rakan Sosilawati yang turut dibunuh bekerja, pula kelihatan seperti biasa sejak dibuka jam 8.30 pagi, semalam. 

Seorang kakitangan bank berkenaan yang ditemui Bernama berkata, pemergian Noorhisham tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakan setugas. 

Katanya, pemergian Noorhisham adalah kehilangan besar kepada bank itu kerana beliau pekerja dedikasi dan komited terhadap pekerjaannya. 

“Saya percaya jika rakan setugas anda ‘pergi’ pun, mungkin perasaan sama akan dirasai,” katanya. 

KRONOLOGI 
Kes pembunuhan kejam di Malaysia
 

23 Julai 1993 

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris hilang hampir tiga minggu sebelum ditemui mati dibunuh di Raub. Mayat tokoh politik dan ahli perniagaan itu ditemui dikerat 18 bahagian dan ditanam dalam stor di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong. 

18 Jun 2003 

Penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Li Kian diculik di pusat beli-belah di Bangsar pada 13 Jun 2003 sebelum mayatnya yang rentung ditemui dalam longkang di tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru, Petaling Jaya pada 17 Jun 2003. 

25 Disember 2003 

Mayat eksekutif muda dan model sambilan, Noritta Samsudin, 22, ditemui mati dengan kedua-dua tangan diikat ke belakang, leher dijerut, mulut disumbat dan kakinya juga diikat. Beliau disyaki dirogol sebelum dibunuh di rumah sewanya yang terletak di kediaman mewah di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas. 

27 November 2006 

Wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibu, 28, dibunuh menggunakan bahan letupan di Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. 

17 September 2007 

Nurin Jazlin Jazimin, 8, dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya. Hasil bedah siasat mendapati dia mati akibat didera secara seksual yang melampau. 

5 Januari 2010 

Empat sekeluarga ditemui mati dalam keadaan mengerikan selepas dibunuh oleh cucu sendiri, Rasidi Ismail, 32, di dalam dua rumah di Kampung Batang Rokan di Gemencheh, Tampin. Mayat Atan Daud, 90, ditemui dalam keadaan putus tangan kiri di sebelah mayat isterinya, Sufiah Keatas, 80, yang putus tangan kanannya, selain menantu, Ismail Awang, 76 dan cucunya, Siti Khadijah, 22.

No comments:

Post a Comment