Tuesday, September 14, 2010

Tidak pernah dengar pemimpin UMNO mengatakan Melayu lebih superior


14/09/2010 6:36pm

KUALA LUMPUR 14 Sept — Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata beliau tidak pernah dengar mana-mana pemimpin UMNO mengatakan Melayu lebih superior daripada bangsa lain.
Beliau berkata, jika hubungan bangsa di Malaysia “tidak begitu baik seperti yang sepatutnya”, adalah tidak adil untuk menuduh semua pemimpin UMNO sering memperkatakan kedudukan tinggi orang Melayu.
"Dalam hubungan saya dengan UMNO, saya tidak pernah dengar mana-mana pemimpin UMNO yang mengatakan Melayu lebih superior daripada bukan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog kepimpinan Cina mengenai Bajet 2011 di Wisma MCA di sini hari ini.
Soi Lek mengulas kenyataan negarawan Singapura Lee Kuan Yew dalam temu bual di New York Times pada 1 Sept, yang menyifatkan Malaysia sebagai dalam “keadaan yang paling tidak menggembirakan”.
Lee antara lain dilaporkan dalam temu bual itu berkata, “tidak seperti Singapura, tidak terlalu mempertahankan budaya Cinanya, Malaysia mengambil perkembangan lain dengan rakyat Malaysia melihatnya sebagai sebuah negara Melayu di mana semua yang lain adalah orang tumpangan”.
Soi Lek menerangkan bahawa hubungan bangsa “bukanlah begitu baik seperti yang sepatutnya” kerana selepas pilihan raya umum Mac 2008, terdapat persaingan hebat untuk meraih sokongan.
"Di Malaysia, bangsa merupakan satu isu yang mudah untuk mendapatkan sokongan, tetapi saya tidak fikir ia adalah adil untuk mengatakan bahawa pemimpin Melayu sentiasa mengatakan kedudukan tertinggi Melayu. Ini adalah taktik pembangkang untuk menjadikan UMNO dilihat teruk,” kata beliau. — Bernama

No comments:

Post a Comment