Tuesday, September 14, 2010
Berteman pelita, bermandi hujan
MUAR – Ketika negara sedang rancak menikmati kemajuan dan kepesatan pembangunan masih ada keluarga yang mendiami rumah usang dalam keadaan yang serba kekurangan dan kedaifan.
Hanya bertemankan sinaran cahaya pelita pada setiap malam dan bermandikan air hujan selama dua tahun sudah cukup menggambarkan kepayahan yang terpaksa dilalui oleh Siti Fatimah Hashim, 42, bersama suami Idris Kanan, 54, serta tiga anak yang tinggal di Parit Yusof di sini.
Segala urusan harian seperti memasak, mandi dan mencuci pakaian adalah hanya dengan menggunakan air hujan.
Namun, kadang kala dia terpaksa meminta bekalan air paip daripada ibunya apabila bekalan air hujan di rumahnya terputus berikutan cuaca tidak hujan.
Di samping itu, dengan mendiami rumah yang dikelilingi dengan kebun kelapa sawit serta berjauhan daripada jiran tetangga, bagi Siti Fatimah sudah memadainya baginya sekeluarga sebagai tempat berteduh biarpun rumah itu dibina atas ihsan daripada tuan tanah itu.
Pastinya tidak ada sesiapa yang akan menyangka bahawa terdapat sebuah keluarga yang tinggal di dalam kawasan kebun serta keadaan jalan tanah merah yang sangat becak.
Bagaimanapun, keperitan hidup yang terpaksa dilalui Siti Fatimah sedikit pun tidak menjadi penghalang kepadanya untuk membe�sarkan kesemua anak itu dengan penuh kasih sayang.
Menurutnya, dia benar-benar bersyukur apabila ketiga-tiga anaknya iaitu, Nurul Fariza Idris, 19, Izwan Idris,13 dan Siti Nurhaliza Idris, 10, tidak pernah mengeluh dengan kesusahan yang mereka alami.
“Mereka semua sangat memahami dengan keperitan keluarga ini biarpun kehidupan kami boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
“Pendapatan suami yang hanya bekerja kampung dengan mengambil upah untuk memungut buah kelapa sawit adalah sangat terhad dan membataskanya untuk memenuhi beberapa keperluan yang penting,”katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Ketika Sinar Harian berkunjung ke rumahnya, kedua-dua anaknya iaitu Siti Nurhaliza dan Izwan tiada di rumah kerana menolong ayahnya mengambil upah memungut buah kelapa sawit.
Difahamkan anak-anak itu akan menolong bapanya bekerja semasa waktu cuti sekolah bertujuan untuk meringankan beban keluarganya.
“Suami saya terpaksa bekerja setiap hari kerana jika tidak bekerja sehari akan menyebabkan mereka sekeluarga tidak dapat menjamah makanan walaupun sesuap nasi.
“Biarpun hanya dapat menjamah nasi berlaukan kicap dan ikan bilis, baginya itu sudah mencukupi dan mampu membuka selera anaknya untuk makan setiap hari,”katanya.
Katanya, dia lebih rela makan sedikit asalkan anak-anaknya itu dapat menikmati makanan dengan kenyang.
“Saya sangat bersyukur kerana anak-anak tidak pernah merunggut apabila terpaksa makan nasi tanpa lauk.
“Apa yang pasti mereka sangat memahami keperitan ayahnya mencari rezeki dan kepayahan hidup yang terpaksa mereka lalui dalam usia yang muda,”katanya.
Siti Fatimah berkata, dalam pada itu, anak-anaknya menunjukkan minat yang mendalam terhadap pelajaran.
Bagaimanapun, lebih membanggakan apabila anak sulung mereka iaitu Nurul Fariza kini sedang melanjutkan pengajian di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu di Sungai Buluh pada Julai, lalu.
Bakal bergelar jururawat dan menjadi harapan Siti Fatimah supaya anaknya itu mampu membantu keluarganya itu.
Namun, disebalik kegembiraan anaknya dapat melanjutkan pelajaran, terselit cerita sedih yang mana Siti Fatimah terpaksa menjual gelang emas bagi menampung perbelanjaan untuk memastikan anaknya itu dapat melanjutkan pelajaran.
“Mujur ada saudara mara yang sudi membantu untuk sama membiayai yuran pendaftaran dan menghantar anaknya untuk pendaftaran di kolej ini.
“Saya berasa bangga kerana kesusahan keluarga tidak menjadi penghalang kepada anaknya belajat dengan sempurna,”katanya.
Selain itu, ketika menziarahi keluarga itu, penulis tertarik pada su dut dinding rumahnya itu ada beberapa keping kotak tergantung pada dinding yang mengandungi beberapa karangan pendek.
Biarpun ringkas, tetapi ia sungguh bermakna yang menterjemah kan isi hati Siti Nurhaliza yang mempunyai keazaman untuk belajar bersungguh-sungguh dan ingin menjadi guru bagi membantu keluar ganya.
Dalam pada itu, ketika keluarga itu hidup dalam serba kekurangan, masih ada insan yang prihatin de ngan nasib yang menimpanya keluar ga itu.
Oleh itu, Rakan Amateur Radio Muar iaitu sebuah organisasi Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah berkunjung ke rumah Siti Fatimah Hashim untuk melihat kepayahan hidup yang terpaksa dilalui keluarga itu.
Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan, sumbangan berupa wang ringgit dan barangan dapur telah diberikan kepada keluarga ini bagi membantunya menghadapi Aidilfitri pada kali ini dengan lebih bermakna dan meriah.
Sumbangan tersebut disampikan oleh Pengerusinya, Deen Atan bersama-sama dengan ketua program tersebut iaitu Dr Razali Ali.
Difahamkan kira-kira 75 ahli Rakan Amateur Radio Muar turut hadir untuk bersama-sama menjayakan program Konvoi Amal pada kali ini.
Labels:
daif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment