TAMPIN: “Ketika bersandar di bahu saya, bunyi nafas dan degupan jantungnya amat kencang. Saya kemudian cuba memanggil namanya, namun tidak bersahut dan pilu melihat suami sudah menghembuskan nafas terakhir,” kata Rashidah Abdul Samad, 37.
Kejadian menyayatkan hati itu menyebabkan hasrat seorang anggota polis berpangkat koperal untuk pulang menghadiri kenduri tahlil 100 hari arwah bapanya bertukar tragedi apabila dia dan anak perempuannya terkorban dalam satu kemalangan di Kilometer 237.3 Lebuhraya UtaraSelatan arah selatan berhampiran Plaza Tol Pedas/Linggi, dekat sini, awal pagi semalam. Menurut Rashidah, dia bersama suami, Rubaie Abdul Rahman, 41, serta tiga anak perempuan mereka iaitu Nur Aziera, 15, Fatin Adila, 9, dan Farah Elisa Najwa, 5, dalam perjalanan dari rumah mereka di Ijok, Selangor menuju ke Bukit Gambir, Muar, Johor.
“Kami sekeluarga yang menaiki Proton Waja mahu menghadiri kenduri arwah bapa sempena 100 hari pemergiannya yang meninggal dunia dalam satu kemalangan di Johor sebelum ini. “Berikutan mahu tiba lebih cepat untuk membantu menyediakan persiapan kenduri yang akan diadakan malam ini (semalam), kami bertolak dari rumah pada jam 5.15 pagi,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini, semalam. Menceritakan insiden ngeri itu, katanya, sejurus sebelum kejadian, dia ternampak seolah-olah objek hitam di tengah lebuh raya terbabit dan segera memberitahu suaminya yang sedang memandu.
“Pada waktu itu, suami saya sempat menjerit perkataan ‘apa tu?’ sebelum saya dikejutkan dengan bunyi dentuman amat kuat dan kereta kami seterusnya berpusing sebanyak beberapa kali. “Saya yang masih lagi sedarkan diri kemudian mendapati kepala suami berada di atas bahu saya, manakala anak iaitu Fatin tersepit di tempat duduk belakang meraung kesakitan sambil meminta pertolongan.
“Bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk, saya yang cedera ringan nekad menggagahkan diri untuk membawa keluar anak bongsu iaitu Farah yang turut berada di bahagian belakang kereta terbabit,” katanya.
Rashidah berkata, sejurus meletakkan Farah di tepi jalan, dia tersentak apabila dimaklumkan oleh orang awam bahawa selain suaminya, anak sulungnya iaitu Nur Aziera turut meninggal dunia akibat tercampak keluar dari kereta.
“Saya segera menghubungi saudara mara terdekat memberitahu perkara berkenaan sebelum melihat ketibaan anggota polis dan bomba,” katanya.
Mayat dua beranak berkenaan dibawa ke HT untuk bedah siasat, manakala Fatin yang cedera pada kaki menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati suasana pilu menyelubungi perkarangan bilik mayat hospital berkenaan dengan tangisan ahli keluarga mangsa selain saudara mara dan kenalan rapat.
Menurut Rashidah, dia pada awalnya agak berat hati untuk pulang ke kampung dan langsung tidak menyangka insiden ngeri itu meragut dua insan kesayangannya.
No comments:
Post a Comment