Tuesday, September 14, 2010

Kegeringan berpanjangan Tuanku Ismail Petra perlukan pengganti - SUK


KOTA BHARU 13 Sept. - Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan adalah selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berikutan keadaan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang gering sejak lebih setahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias berkata, mengikut peruntukan Perkara 23A, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), menyatakan jika setelah siasatan dilakukan, Majlis Perajaan Negeri berpendapat raja mempunyai kecacatan yang besar, maka seorang pengganti hendaklah dipilih untuk menjadi raja mengikut syarat-syarat tertentu.
"Majlis Perajaan Negeri dalam sidangnya hari ini berpendapat bahawa keadaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang ini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik untuk menjadi Raja bagi menggantikan baginda mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).
"Keputusan Majlis Perajaan Negeri tersebut telah dibuat secara sebulat suara oleh 15 orang anggota majlis yang hadir pada pagi tadi yang mengikut peruntukan itu telah memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra menjadi Raja yang memerintah," katanya.
Beliau berkata, demikian pada sidang akhbar di Istana Negeri, Kubang Kerian selepas Majlis Penghadapan Penyerahan Watikah Pemasyhuran Kepada Sultan Kelantan yang baru itu.
Pada tengah hari ini, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.
Mesyuarat Majlis Perajaan Negeri itu yang diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim bagaimanapun tidak dihadiri dua anggotanya iaitu Anggota Parlimen Gua Musang yang juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan, Tengku Amalin A'Ishah Putri.
Aiseri berkata, Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang telah diwartakan pada 22 Julai lalu setelah Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai bagi membolehkan pindaan Bahagian Yang Kedua undang-undang tersebut melalui Perwawai.
"Pindaan tersebut amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berkaitan kegeringan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra yang bermula pada 14 Mei 2009 sehingga sekarang dan dikhuatiri ianya terus berlanjutan," katanya.
Katanya, antara kuasa dan syarat pada pindaan itu adalah berkaitan pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada takhta Raja itu atau bakal Raja atau bakal-bakal Raja dan pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada takhta kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun anggota Majlis Pangkuan Raja bagi negeri.
"Saya berharap dengan kenyataan ini akan dapat memperjelaskan lagi tentang keputusan Majlis Perajaan Negeri sebagaimana yang disebutkan tadi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment