Tuesday, September 14, 2010

Syawal tanpa tiga anak


Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/09/14

  
  • Foto
    KEMALANGAN ngeri menyebabkan tiga beradik maut di persimpangan Pusat Bandar Jengka pada 4 Ogos lalu.
  • Foto
    ROSIAH menunjukkan gambar kenangan tiga anak yang maut dalam kemalangan.
Rosiah pilu kenang nahas seminggu sebelum Ramadan

MARAN: Ketibaan Syawal kali ini amat memilukan buat seorang ibu tunggal apabila tidak dapat beraya bersama tiga permata hatinya yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 47.5 Jalan Temerloh – Bandar Jengka, kira-kira seminggu sebelum Ramadan lalu.
Rosiah Mohamed Ismail, 35, berkata tiada lagi keceriaan bagi lebaran kali ini selepas kehilangan tiga anak.
"Saya reda dengan kejadian yang menimpa dan menganggap ini dugaan terbesar buat saya walaupun sebelum ini rasa hilang arah dan tidak dapat menerima kenyataan yang menimpa diri.

"Selepas tragedi itu, saya ke Pulau Pinang untuk berubat selepas pahit untuk menerima kenyataan anak yang disayangi dan dirindui sudah tiada. Alhamdulillah, kini saya lebih yakin dan semangat kembali kuat untuk meneruskan hidup tanpa mereka di sisi," katanya.

Dalam kejadian 4 Ogos lalu, empat terbunuh termasuk tiga anak Rosiah, Fatin Atikah Muhamed Faizal ,16 dan dua adiknya, Fatin Atifah, 15, dan Muhammad Faiz Danial, enam tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, kereta Perodua Kancil yang mereka naiki bertembung dengan kereta BMW dan turut meragut nyawa rakan Fatin Atikah, Muhamad Azlan Abdul Talib, 21. 
Selain itu, Rosiah berkata, tiada ada yang lebih penting dalam hidupnya melainkan anaknya dan sebelum ini beliau bertungkus lumus bekerja demi membesarkan mereka.

"Jiwa saya kosong tanpa gelak tawa dan keletah mereka, namun hidup tetap perlu diteruskan. 

"Tahun ini juga tiada persiapan raya dibuat kerana merasakan tiada erti untuk bergembira dan terpaksa menyambut sendirian," katanya yang mengusahakan salon kecantikan dan kedai makan di Jengka 14, dekat sini.

Beliau berkata, kini gambar lama ketiga-tiga beradik menjadi tatapannya untuk melepaskan rindu.

"Jika dulu kami bertandang ke rumah sanak saudara pada pagi Syawal untuk berkumpul dan bermaaf-maafan namun kini itu hanya tinggal kenangan.

"Keadaan berbeza tahun ini kerana saya hanya dapat menziarahi pusara anak yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Jengka 8.

"Tanggal 4 Syawal (semalam) genap 40 hari mereka meninggalkan saya dan pemergian itu pasti menjadi kenangan paling pahit dalam hidup saya," katanya. 

No comments:

Post a Comment