Tuesday, September 14, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Bijak main sandiwara



KUALA LUMPUR: Peguam yang merancang penipuan dan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, dianggap bijak bersandiwara sebagai pembela masyarakat apabila kerap tampil menghulurkan bantuan termasuk khidmat guaman percuma.
Difahamkan peguam berusia 41 tahun terbabit turut bijak menggunakan publisiti media bagi meraih populariti dan keyakinan masyarakat berhubung imejnya yang dilabelkan bersih dan boleh diyakini.
Berdasarkan maklumat, peguam berkenaan pernah beberapa kali memanggil media untuk mengadakan sidang akhbar berhubung mangsa yang dianiaya majikan selain kes membabitkan gangguan seksual.
Perwatakannya seolah-olah individu prihatin menyebabkan suspek popular di kalangan masyarakat India di Banting, Selangor, di sini.
Bagaimanapun, Datuk muda berkenaan yang merancang komplot jahat dengan adik kandungnya berusia 38 tahun, didakwa pernah dikenakan tindakan tatatertib Majlis Peguam Malaysia tiga tahun lalu.
Menurutnya, amalan guaman suspek pernah digantung selama setahun mulai 9 Mac 2007 hingga 30 Mac 2008 lalu.
Individu yang digantung terbabit adalah suspek berkenaan, adiknya dan seorang lagi proksi yang dikenakan tindakan dalam Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976.
Hukuman terbabit menyebabkan Datuk berkenaan tidak layak menjalankan amalan guaman dan menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.
Sumber polis berkata, adik suspek berusia 38 tahun yang juga seorang peguam turut pernah dikaitkan dengan tiga tuduhan kes pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah milik seorang wanita bernilai RM200,000 akhir tahun lalu.
Berdasarkan siasatan, adik suspek dihadapkan ke mahkamah awal Ogos lalu. Suspek didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Dia bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 20 September depan, katanya.
Menurutnya, walaupun polis percaya terdapat sekurang-kurangnya empat mangsa lain turut dibunuh dan dihilangkan dengan kaedah sama, namun polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai keluarga mangsa akan tampil memberi maklumat.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment