Tuesday, September 14, 2010

Kenyataan Cho Ha ada agenda tersembunyi?


KUALA LUMPUR 13 Sept. - Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha dilihat mempunyai agenda tersembunyi apabila meminta UMNO menjauhi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abd. Karim berkata, ini kerana kenyataan Cho Ha itu seperti merendah-rendahkan kepentingan dan sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) selama ini.
"Saya melihat kaum Cina kini mengadakan eksperimen dengan menolak BN dalam situasi politik tanah air sekarang.
"Jadi kenyataan Datuk Seri Kong Cho Ha itu dilihat seperti mahu mengapi-apikan penolakan kaum Cina terhadap BN atau mungkin (kenyataan) beliau ada agenda tersembunyi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jais mengulas kenyataan media Cho Ha hari ini yang antara lain kesal dengan pendirian sesetengah pemimpin UMNO yang mahu terus mempunyai hubungan dengan Perkasa.
Menurutnya, UMNO perlu menjauhi Perkasa kerana hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 'terlampau' itu akan hanya menyebabkan BN hilang sokongan daripada masyarakat selain Melayu di negara ini.
"BN tidak akan memenangi semula sokongan rakyat Malaysia jika terus bekerjasama dengan NGO yang terlampau ini," kata Cho Ha.
Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar pula mencabar Cho Ha dan MCA supaya tidak berkompromi dengan NGO Cina seperti Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) yang dilihat ekstrem dalam beberapa tuntutan sebelum ini.
"Jadi, saya minta UMNO supaya jangan melayan pemikiran sempit Cho Ha yang sebenarnya 'mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih' atau bahasa modennya, cakap tak serupa bikin," selarnya.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kacharmenegaskan, Cho Ha dan MCA tidak harus 'mengarahkan' UMNO supaya menjauhi atau mendekati sesuatu NGO selagi ia menghormati hak kaum lain di negara ini.
Jika dilihat, katanya, Perkasa hanya mempertahankan hak Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan dan bukannya seperti Dong Zhong yang melakukan permintaan berlebihan.
"Jadi mengapa baru sekarang Cho Ha mempersoalkan perkara ini, bukankah lebih baik pimpinan MCA menumpukan perhatian terhadap usaha meraih kembali sokongan Cina.
"Atau mungkin kenyataan Cho Ha itu sebenarnya sebahagian daripada strategi ke arah sasaran yang lebih besar (grand strategy)?" ujarnya.

No comments:

Post a Comment